fb fb fb fb fb

18 terbunuh dalam serangan bersenjata di Sudan

Perang di Sudan telah menyebabkan puluhan ribu orang terkorban/Foto AFP

SUDAN, 27 September - Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan pasukan bersenjata di parsar El-Fasher, Sudan.

Kejadian itu berlaku ketika pemimpin di negara itu menyeru supaya peperangan di Sudan dihentikan.

Menurut aktivitis, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah melancarkan serangan pada petang Khamis menyebabkan puluhan orang cedera.

Kejadian itu berlaku ketika pasukan bersenjata RSF dan tentera kerajaan terus bersaing untuk menguasai ibu negeri Darfur Utara.

Konflik di kawasan Timur Laut Afrika itu kini sudah berlarutan sehingga memasuki ke-17 bulan.

"Kami menerima 18 mayat di hospital malam tadi, sebahagian anggota badan mereka terbakar, manakala yang lain maut akibat kecederaan teruk akibat serpihan peluru," kata sumber dari Hospital El-Fasher.

Situasi di Sudan, khususnya di El-Fasher, telah dibincangkan di Perhimpunan Agung PBB di New York minggu ini.

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, menyeru agar pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di El-Fasher, Khartoum, dan kawasan-kawasan lain yang terjejas, supaya menerima "jeda kemanusiaan" untuk memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan.

RSF telah mengepung bandar El-Fasher sejak bulan Mei, sehingga menyebabkan bantuan dan bekalan makanan sukar untuk sampai ke kawasan tersebut.

Oleh itu, kebuluran telah berlaku di kem pelarian Zamzam yang terletak berdekatan dengan bandar El-Fasher dan menjadi tempat perlindungan kepada kira-kira dua juta penduduk.

Perang di Sudan telah menyebabkan puluhan ribu orang terkorban.

Menurut angka rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 20,000 orang telah terbunuh.

Bagaimanapun, terdapat anggaran lain yang lebih tinggi, iaitu mencecah 150,000 orang. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN