LUCKNOW, 17 Oktober - Sekurang-kurangnya 18 orang maut dan beberapa lagi dimasukkan ke hospital selepas meminum arak beracun di Bihar, timur India, kata seorang pegawai kanan kerajaan.
Jumlah kematian dijangka meningkat, kata pegawai tersebut yang enggan namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan untuk bercakap kepada media mengenai perkara itu.
Polis tempatan telah menahan 22 individu kerana didakwa terlibat dalam penjualan arak beracun di negeri tersebut, yang telah mengharamkan penjualan dan pembelian arak pada tahun 2016.
Kematian akibat pengambilan arak buatan haram, yang dikenali sebagai "hooch" atau arak tempatan, adalah kejadian biasa di India, di mana ramai tidak mampu membeli minuman keras berjenama.-REUTERS