fb fb fb fb fb

J&J bayar AS$15 juta kepada lelaki dakwa bedak talkum sebabkan kanser

Foto Reuters

NEW ENGLAND, 17 Oktober - Johnson & Johnson (J&J) perlu membayar AS$15 juta kepada seorang lelaki dari Connecticut yang mendakwa dia menghidap mesothelioma, satu bentuk kanser yang jarang berlaku, akibat menggunakan bedak talkum syarikat tersebut selama berdekad-dekad, menurut keputusan juri pada Selasa.

Plaintif, Evan Plotkin menyaman syarikat itu pada tahun 2021 sejurus selepas didiagnosis, mengatakan dia jatuh sakit akibat menghidu bedak bayi J&J.

Juri di Mahkamah Tinggi Fairfield County, Connecticut turut memutuskan bahawa syarikat itu perlu membayar ganti rugi punitif tambahan, yang akan ditentukan kemudian oleh hakim yang mengendalikan kes tersebut.

"Evan Plotkin dan pasukan perbicaraannya sangat gembira bahawa juri sekali lagi memutuskan bahawa Johnson & Johnson bertanggungjawab atas pemasaran dan penjualan produk bedak bayi yang mereka tahu mengandungi asbestos," kata Ben Braly, peguam Plotkin, dalam satu emel.

Erik Haas, Naib Presiden Litigasi Global J&J, berkata dalam satu kenyataan bahawa syarikat itu akan membuat rayuan terhadap keputusan "yang salah" oleh hakim perbicaraan yang menghalang juri daripada mendengar fakta penting mengenai kes tersebut.

"Fakta-fakta tersebut menunjukkan bahawa keputusan itu tidak selaras dengan penilaian saintifik bebas selama beberapa dekad yang mengesahkan bedak itu selamat, tidak mengandungi asbestos dan tidak menyebabkan kanser," kata Haas.

Keputusan pada hari Selasa itu muncul ketika J&J berusaha menyelesaikan tuntutan lebih daripada 62,000 orang yang mendakwa mereka menghidap kanser ovari dan kanser ginekologi lain akibat bedak itu melalui penyelesaian hampir AS$9 bilion dalam proses kebankrapan.

Perjanjian kebankrapan, yang menghadapi cabaran undang-undang daripada beberapa peguam plaintif, telah menangguhkan tuntutan berkaitan kanser ginekologi, namun tidak menjejaskan bilangan kecil tuntutan mesothelioma seperti yang dihadapi Plotkin.

Syarikat itu sebelum ini telah menyelesaikan beberapa tuntutan tersebut namun belum mencadangkan penyelesaian peringkat kebangsaan.

Para plaintif dalam semua tuntutan tersebut mendakwa bahawa produk talkum J&J, seperti bedak bayi yang pernah menjadi ikonik, tercemar dengan asbestos, bahan karsinogen yang diketahui menyebabkan mesothelioma dan kanser lain.

J&J telah menarik balik produk bedak berasaskan talkum dari pasaran Amerika pada tahun 2020.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN