fb fb fb fb fb

17 maut, insiden keganasan di Colombia dalam tempoh 72 jam lalu

(Anggota polis forensik Colombia membuat pemeriksaan di luar bar tempat enam orang
dibunuh oleh lelaki bersenjata di kejiranan Las Flores di Barranquilla / AFP)

BOGOTA, 13 September- Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh sejak tiga hari lalu di Colombia dalam beberapa insiden keganasan, kata pihak berkuasa, sambil menekankan tugas besar yang dihadapi Presiden Gustavo Petro.

Di bandar utara Barranquilla, enam orang ditembak mati oleh lelaki bersenjata pada pagi Isnin ketika sedang minum di sebuah bar.

Polis berkata geng pengedar dadah Gulf Clan melakukan serangan ke atas pesaingnya, ahli kumpulan Los Costenos.

Di bahagian utara-tengah Santander, seorang guru, isteri dan dua anaknya dibunuh oleh sekumpulan penyerang pada pagi Ahad, kata pihak berkuasa tempatan.

Lima pendatang Venezuela, yang dituduh terlibat dalam pembunuhan itu, kemudian dibunuh orang awam dalam satu tindakan yang disifatkan sebagai balas dendam.

Datuk Bandar tempatan telah memberitahu stesen radio nasional bahawa pembunuh adalah "orang dari Venezuela" yang merompak dan menggunakan pisau untuk membunuh mangsa mereka.

Susulan serangan itu, seorang mangsa yang tercedera segera meminta pertolongan jiran yang akhirnya, mengambil keadilan ke tangan mereka sendiri dan membunuh lima penyerang tersebut.

Sementara pada Ahad dan Isnin, seorang pengawal orang asli tempatan di timur laut jabatan Arauca terbunuh, menurut NGO Indepaz.

Pada malam Sabtu, seorang pemimpin kesatuan telah ditembak mati oleh dua penunggang motosikal bersenjata di bandar pelabuhan timur laut Barrancabermeja.

Manakala pada malam Jumaat, seorang lagi pemimpin tempatan, seorang wanita muda, ditikam hingga mati di rumahnya di bahagian utara Sucre.

Indepaz berkata kematian itu menjadikan jumlah pemimpin tempatan dan masyarakat yang terbunuh sejak negeri itu menandatangani perjanjian damai 2016 dengan gerila Marxist Revolutionary Armed Forces of Colombia kepada 128.

Petro, presiden berhaluan kiri pertama Colombia, berikrar berikutan kemenangannya dalam pilihan raya Jun untuk membawa "kedamaian menyeluruh" di negara yang dilanda konflik itu.

Colombia telah mengalami konflik selama enam dekad melibatkan gerila berhaluan kiri, pengedar dadah, paramilitari sayap kanan dan pasukan negara.

Petro telah berikrar untuk membuka rundingan dengan kumpulan pemberontak terakhir yang diiktiraf di negara itu, Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN).

Dia juga berjanji akan berdialog dengan pengedar dadah dalam usaha untuk menamatkan kitaran keganasan. -AFP


(Bar lokasi kejadian menyaksikan enam orang dibunuh oleh lelaki bersenjata

di kejiranan Las Flores di Barranquilla, pada 12 September 2022 / AFP)

Media Baharu