fb fb fb fb fb

15 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berhampiran Kem Nuseirat

Foto REUTERS

GAZA, 14 Oktober-Agensi Pertahanan Awam Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu Israel pada Ahad.

Serangan tersebut menyasarkan sebuah sekolah yang dijadikan sebagai pusat perlindungan bagi rakyat Palestin.

Menurut Mahmud Bassal, jurucakap agensi bantuan, "Sekolah Al-Mufti telah dibom dengan bedilan artileri Israel yang menyebabkan 15 syahid, termasuk kanak-kanak, wanita, dan seluruh keluarga, serta 50 lagi cedera."

"Sekolah berkenaan dijadikan sebagai pusat perlindungan yang menempatkan pelbagai keluarga yang tinggal di seluruh Gaza", tambahnya.

Sementara itu, tentera Israel menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat laporan berkaitan serangan tersebut.

Serangan terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah di Deir el-Balah yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 28 orang.

Tentera Israel sering menuduh Hamas bersembunyi di bangunan sekolah yang menempatkan ribuan penduduk Gaza.

Tuduhan tersebut dinafikan oleh kumpulan pejuang Palestin itu.

Krisis Hamas-Israel telah mengorbankan banyak nyawa awam.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, lebih 42,227 orang telah terkorban dalam serangan Israel selama setahun yang lalu, kebanyakannya adalah orang awam.

Angka ini diakui sebagai boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD