fb fb fb fb fb

141 daripada 193 negara anggota PBB sepakat desak Rusia keluar dari Ukraine

NEW YORK, 3 Mac- Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mencapai kata sepakat menerima resolusi untuk mendesak Rusia keluar dari Ukraine dengan segera.

Ia menjadi kritikan paling kuat terhadap pencerobohan Moscow oleh majoriti negara anggota.

Selepas dua hari perbahasan luar biasa berlangsung, 141 daripada 193 negara anggota mengundi untuk menerima resolusi tidak terikat itu.

China pula antara 35 buah negara berkecuali dengan lima negara iaitu Eritrea, Korea Utara, Syria, Belarus dan Russia mengundi menentang resolusi terbabit.


(141 negara sokong resolusi, 35 berkecuali, 5 bantah / Foto AFP)

Resolusi itu menyatakan kekesalan terhadap pencerobohan Rusia di Ukraine dan mengutuk keputusan Presiden Russia, Vladimir Putin meletakkan senjata nuklearnya dalam keadaan bersiap siaga.

Putin melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 24 Februari.

Moscow memberi alasan mempertahankan diri di bawah Artikel 51 Piagam PBB.

Namun ia ditolak oleh negara-negara Barat yang menuduh Moscow melanggar Artikel 2 Piagam, yang memerlukan anggota PBB untuk menahan diri daripada ancaman atau penggunaan kekerasan bagi menyelesaikan krisis.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata mesej Perhimpunan Agung adalah kuat dan jelas. -AFP

Media Baharu