fb fb fb fb fb

14 disahkan maut dalam kejadian bangunan runtuh di Jordan

(Penyelamat mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan
yang runtuh di Amman, Jordan , pada 14 Sept 2022/REUTERS)

AMMAN, 17 September- Mayat terakhir telah ditarik keluar dari serpihan bangunan runtuh di ibu negara Jordan ketika usaha pencarian ditamatkan selepas empat hari, menjadikan jumlah terkorban meningkat kepada 14 orang.

"Pasukan penyelamat dapat mengeluarkan seorang yang maut pada hari Sabtu, angka kematian kini berjumlah 14 orang," kata jurucakap Keselamatan Awam, Amer al-Sartawi.

Operasi menyelamat besar-besaran bermula apabila bangunan kediaman empat tingkat itu tumbang pada Selasa lepas di Jabal al-Weibdeh, salah sebuah kawasan kejiranan tertua di sini.

Penemuan mayat itu, yang menurut sumber perubatan adalah seorang wanita, bermakna semua yang hilang telah diambil kira.

"Pendakwa raya Jordan telah mengarahkan penahanan tiga individu bagi membantu siasatan.

Mereka terdiri daripada pengurus bangunan dan dua orang lain yang terlibat dalam kerja pengubahsuaian," kata media kerajaan.

Tapak tragedi itu terletak di daerah Jabal al-Weibdeh di tengah ibu negara, terkenal dengan kehidupan budaya yang rancak dan rumah kepada sejumlah besar ekspatriat.

Khamis lepas, pekerja kecemasan berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat bulan dari serpihan.

Kanak-kanak itu hanya mengalami lebam kecil. -AFP

(14 disahkan maut dalam kejadian bangunan runtuh di Jordan)

Media Baharu