fb fb fb fb fb

13 maut akibat kebakaran hutan Chile

(FOTO REUTERS)

SANTIAGO, 4 Februari- Chile telah mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah di kawasan tengah-selatan negara itu selepas gelombang haba yang dahsyat mencetuskan kebakaran hutan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Lebih 100 rumah terjejas dan 47,000 hektar hutan musnah sejak kebakaran berlaku pada Rabu.

"Kami mengumumkan bahawa terdapat 13 kematian secara keseluruhan, 11 di perbandaran Santa Juana," kata ketua agensi bencana nasional Senaprad, Mauricio Tapia.

Dua krew sebuah helikopter yang sedang menjalankan operasi memadam kebakaran maut dalam nahas pada petang Jumaat, kata menteri pertanian Chile Esteban Valenzuela.

"Saya sangat sedih dengan nahas helikopter yang mengorbankan juruterbang dan seorang mekanik yang bekerja untuk memadamkan kebakaran" di wilayah La Araucania, kata Valenzuela.

Tapia kemudian menambah, juruterbang tersebut adalah warga Bolivia manakala mekanik berkenaan merupakan warga Chile.

Kerajaan telah mengisytiharkan darurat di wilayah Nuble dan Biobio, tetapi kebakaran turut menjejaskan wilayah Maule dan La Araucania.

Presiden Gabriel Boric memutuskan untuk menangguhkan percutiannya untuk melawat kawasan yang terjejas, di mana terdapat 204 kebakaran aktif.

Daripada jumlah itu, 56 dianggap di luar kawalan.

Menteri Dalam Negeri Carolina Toha berkata empat orang awam yang maut adalah di wilayah Biobio.

Tambahnya, dua yang maut apabila kebakaran melanda jalan yang mereka lalui, manakala dua lagi maut dalam kemalangan kereta, mungkin ketika cuba melarikan diri dari api.

Pihak berkuasa kemudian berkata seorang anggota bomba turut terbunuh.

Perkhidmatan pencegahan dan tindak balas bencana negara Senapred dan Perbadanan Hutan Negara CONAF berkata sembilan orang cedera, termasuk lapan anggota bomba.

Kira-kira 2,300 anggota bomba dan 75 pesawat terlibat dalam operasi pemadaman api.

Pengisytiharan darurat bencana membolehkan sumber tambahan disediakan untuk berdepan situasi genting.

Nuble telah diletakkan dalam amaran merah, bersama tujuh majlis perbandaran di Biobio.

Gelombang haba, dengan suhu mencecah 40 darjah Celcius (104 darjah Fahrenheit), telah menimbulkan kebimbangan berulangnya bencana 2017 di mana kebakaran berleluasa di wilayah yang sama menyebabkan 11 orang maut, memusnahkan 1,500 rumah dan menjejaskan 467,000 hektar hutan. -AFP


(FOTO REUTERS)

Media Baharu