fb fb fb fb fb

Atlet luncur papan salji saman jurulatih, USOPC dan persekutuan ski atas dakwaan penderaan seksual

(Bekas jurulatih papan salji AS, Peter Foley)

LOS ANGELES, 4 Februari- Pemenang pingat gangsa Olimpik Rosey Fletcher adalah antara tiga bekas atlet luncur papan salji AS yang menyaman bekas jurulatih mereka, Persekutuan Ski & Papan Salji AS USSS, dan Jawatankuasa Olimpik & Paralimpik AS USOPC, dengan dakwaan penderaan seksual.

Fletcher, pemenang pingat gangsa Olimpik 2006, Erin O'Malley dan Callan Chythlook-Sifsof menyaman bekas jurulatih Peter Foley dan badan induk sukan itu di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles pada Khamis.

Mereka mendakwa Foley melakukan serangan seksual terhadap mereka dan wanita lain selama hampir dua puluh tahun dengan "bantuan, kebenaran dan pengesahan" USOPC dan USSS.

Saman itu, yang menuntut ganti rugi kewangan yang tidak ditentukan, mendakwa Foley mengeksploitasi kedudukannya untuk "memaksa perbuatan seksual melalui kekerasan, manipulasi, dan penderaan emosi".

"Penderaan oleh Foley telah dilaporkan kepada eksekutif USSS dan USOPC oleh beberapa atlet yang dilatih olehnya sebelum ini, namun tiada tindakan diambil," dakwa tuntutan mahkamah itu.

Dalam tuntutan mahkamah berasingan yang difailkan pada Khamis, bekas kakitangan komunikasi USSS Lindsey Nikola mendakwa salah laku seksual oleh Foley.

"Kami menyedari tindakan undang-undang yang telah difailkan," kata US Ski & Snowboard dalam satu kenyataan.

"US Ski & Snowboard belum lagi menerima aduan dan tidak mempunyai peluang untuk menyemak sepenuhnya. USSS akan kekal sebagai organisasi yang mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan atlet dan kakitangannya."

Persekutuan itu juga mengulangi kenyataannya, ia telah melaporkan dakwaan salah laku terhadap Foley kepada organisasi United States Center for SafeSport .

"Kes ini kini dalam siasatan oleh SafeSport, yang mempunyai bidang kuasa penuh ke atas perkara tersebut," kata persekutuan itu.

USOPC berkata ia tidak dapat mengulas mengenai butiran tuntutan mahkamah kerana ia masih belum dapat menyemaknya.

Chythlook-Sifsof mengumumkan melalui media sosial mengenai dakwaan salah laku seksual terhadap Foley pada Februari 2022, ketika Foley melatih pasukan AS di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing.

Dia berkata dalam akaun Instagramnya bahawa "Peter Foley telah mengambil gambar telanjang atlet wanita selama lebih sedekad" dan membuat kenyataan seksual kepadanya dan rakan sepasukan ketika dia baru berusia 17 tahun di Lake Louise, Kanada, pada 2014.

Foley dipecat Mac tahun lalu oleh USSS selepas dia digantung sementara oleh US Center for SafeSport.-AFP


(Rosey Fletcher dari AS beraksi semasa kelayakan dalam pertandingan slalom gergasi
selari papan saljiĀ 
wanita di Sukan Olimpik Musim Sejuk Torino 2006 di
Bardonecchia, Itali, 23 Februari 2006 / REUTRERS)

Media Baharu