FOTO AFP
NAIROBI, 8 Februari- Kira-kira 13 juta penduduk Kenya, Somalia dan Habsyah atau ‘Ethiopia’ berdepan kebuluran serius ketika negara di timur Afrika atau ‘Tanduk Afrika’ itu mengalami kemarau berpanjangan selama beberapa dekad.
Menurut Program Makanan Sedunia (WFP) kegagalan musim hujan tiga kali berturut-turut merekodkan cuaca paling kering sejak tahun 1991, kata agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Kemarau telah memusnahkan banyak tanaman dan mencetuskan keadaan tidak normal kematian ternakan, memaksa penduduk luar bandar yang bergantung hidup kepada aktiviti pertanian dan ternakan, meninggalkan kediaman untuk ikhtiar hidup.
Menurut Pengarah WFP di Afrika Timur, Michael Dunford bekalan air dan kawasan padang ragut yang semakin merosot serta ramalan hujan bawah purata dalam tempoh beberapa bulan akan datang hanya mengancam lebih banyak penderitaan, katanya menerusi satu kenyataan.
“Situasi ini memerlukan bantuan kemanusiaan segera”, bagi mengelak krisis seperti di Somalia pada 2011 berulang, apabila 250,000 orang mati akibat kelaparan kesan kemarau berpanjangan di negara itu.
Ketika ini, bantuan makanan sedang diagihkan di sekitar kawasan kering Kenya, Ethiopia dan Somalia yang merekodkan kadar kekurangan zat makanan agak tinggi dengan anggaran 13 juta orang berisiko mengalami kebuluran serius pada suku pertama tahun ini.
Kira-kira 5.7 juta orang memerlukan bantuan makanan di selatan dan tenggara Habsyah, termasuk setengah juta kanak-kanak dan ibu yang kekurangan zat makanan.
Di Somalia pula, jumlah penduduk yang mengalami kebuluran dijangka terus meningkat daripada 3.5 juta kepada 4.6 juta menjelang Mei nanti, kecuali jika campur tangan segera diambil.
Di tenggara dan utara Kenya, kira-kira 2.8 juta penduduk memerlukan bantuan sejak darurat kemarau diisytiharkan pada September lalu.
Menurut WFP, sebanyak AS$327 juta diperlukan dalam tempoh enam bulan akan datang untuk penyaluran bantuan kemanusiaan juga sokongan kepada komuniti pengembala supaya lebih berdaya tahan terhadap perubahan cuaca semasa.
Pada 2011, tiada penurunan hujan membawa kepada tahun paling kering sejak 1951 di Kenya, Somalia, Habsyah, Djibouti dan Uganda.
Menurut pakar, cuaca ekstrem itu berlaku akibat perubahan iklim – dengan Afrika menyumbang paling sedikit kepada pemanasan global, namun menanggung beban paling teruk. -AFP