RIYADH, 9 Februari - Jemaah umrah dari luar Arab Saudi perlu mengemukakan ujian RT-PCR atau ujian antigen dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam sebelum pelepasan, tanpa mengira status imunisasi.
Prosedur yang dikemas kini Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu akan berkuat kuasa mulai 9 Februari.
Ia antara prosedur baharu bagi kemasukan pengembara ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah dan ziarah.
Arab Saudi mengumumkan sekatan perjalanan baharu bermula 9 Februari.
Kementerian itu berkata sekatan baharu itu diperkenalkan selaras situasi epidemiologi tempatan dan global.
Ia juga sebagai sebahagian daripada langkah diambil kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 dan memelihara kesihatan awam.
Sebelum ini, Arab Saudi menetapkan syarat pengembara perlu mengemukakan ujian RT-PCR dengan keputusan negatif dalam tempoh 72 jam sebelum tiba ke negara itu. -AGENSI