RAMALLAH, 31 Januari - Dua bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan oleh tentera Israel tiba di Ramallah, Tebing Barat, pada Khamis, disambut dengan sorakan kegembiraan oleh ratusan ahli keluarga dan penduduk yang menanti kebebasan mereka.
Menurut Perkhidmatan Penjara Israel, seramai 110 tahanan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dengan Hamas di Gaza yang berkuat kuasa sejak 19 Januari.
Antara tahanan yang pertama turun dari bas ialah Zakaria Zubeidi, 49, yang melangkah keluar dengan mengangkat tangan menunjukkan simbol kemenangan.
Zubeidi, berpakaian seragam penjara kelabu, kelihatan berulang kali mengangkat tangannya sambil tersenyum dalam siaran langsung.
Sorakan dan tepukan bergema di seluruh kawasan Ramallah dengan orang ramai mengangkat beliau sebagai tanda penghormatan dan kegembiraan.
Rakaman televisyen menunjukkan dua bas itu bertolak dari Penjara Ofer, yang mana para tahanan dibebaskan.
Penduduk mula berkumpul di kompleks sukan itu sebaik sahaja mendapat berita bahawa bas membawa tahanan telah meninggalkan Penjara Ofer.
Suasana semakin meriah dengan laungan "Allahu Akbar" dan slogan "rakyat mahukan Briged Al-Qassam" sambil mengibarkan bendera Fatah dan Palestin.
Mereka yang dibebaskan menjalani pemeriksaan kesihatan ringkas sebelum bertemu keluarga masing-masing - AFP