fb fb fb fb fb

Angka kematian di Gaza cecah 47,460 orang

Foto AFP

GAZA CITY, 30 Januari-Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan oleh Hamas mengumumkan bahawa jumlah kematian akibat perang dengan Israel telah mencapai 47,460 orang.

Walaupun terdapat gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang bermula pada 19 Januari, angka kematian yang diterbitkan oleh kementerian kesihatan Gaza terus meningkat setiap hari apabila mayat ditemui di bawah runtuhan atau individu meninggal dunia akibat kecederaan lama.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, 43 lagi kematian telah direkodkan, menurut kementerian itu, yang turut melaporkan seramai 111,580 orang cedera akibat perang.

Israel kerap mempersoalkan kredibiliti angka yang dikeluarkan oleh kementerian tersebut, tetapi data itu dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Satu kajian yang diterbitkan pada awal Januari dalam jurnal perubatan British, The Lancet, menganggarkan bahawa jumlah kematian di Gaza akibat pertempuran sepanjang sembilan bulan pertama konflik adalah kira-kira 40 peratus lebih tinggi daripada angka yang direkodkan oleh kementerian kesihatan Gaza.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD