MANILA, 30 Januari-Pihak berkuasa keselamatan Filipina mengumumkan penahanan lima lagi perisik China, susulan penangkapan seorang rakyat China atas tuduhan pengintipan pada awal bulan ini.
Penangkapan ini berlaku ketika ketegangan yang semakin memuncak antara Filipina dan China berhubung tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly dan perairan strategik di Laut China Selatan.
Menurut pihak berkuasa Filipina, dua lelaki telah ditahan di Lapangan Terbang Manila minggu lalu kerana didakwa menjalankan pemantauan terhadap kapal tentera laut dan aset kerajaan yang membekalkan kelengkapan kepada pos ketenteraan Filipina di Kepulauan Spratly.
Mereka menggunakan dron dan kamera berkuasa solar beresolusi tinggi untuk merakam aktiviti di pangkalan tentera laut, stesen pengawal pantai, pangkalan udara, serta limbungan kapal di wilayah Palawan.
“Kami menganggap mereka sangat berbahaya kepada keselamatan negara kerana jika maklumat ini jatuh ke tangan pihak lain, ia boleh mengancam anggota tentera kita di pangkalan dan kapal,” kata Ketua Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo Brawner dalam sidang media.
Dua lagi lelaki warga China ditangkap secara berasingan di Manila, manakala seorang lagi ditahan di bandar Dumaguete, di bahagian tengah Filipina.
Penangkapan terbaru ini menyusuli tangkapan awal pada Januari, di mana seorang jurutera perisian China bernama Deng Yuanqing serta dua warga Filipina ditahan kerana didakwa mengintip kem tentera dan polis di negara itu.
Menurut Ketua Unit Jenayah Siber NBI, Jeremy Lotoc, seorang saksi memberitahu bahawa Deng bertemu dengan lima suspek yang ditahan sebulan sekali, bertindak atas arahan seorang individu warga asing yang tidak dinamakan di China.
Beberapa suspek telah tinggal di Filipina sejak 2002 dan tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini, menurut jurucakap imigresen Filipina, Dana Sandoval.
Dalam sidang media, lima suspek yang ditangkap telah dipertontonkan dalam keadaan bergari bersama peralatan pengintipan berteknologi tinggi yang dirampas oleh pihak berkuasa.
Jeneral Brawner berkata bahawa masih terlalu awal untuk menyimpulkan sama ada kegiatan pengintipan ini disokong secara rasmi oleh kerajaan China, namun pihak berkuasa percaya ia hanyalah permulaan kepada pendedahan yang lebih besar.
Beijing setakat ini belum memberikan sebarang komen berhubung penangkapan lima perisik terbaru di Filipina.
Namun, pada Sabtu lalu, ia menolak tuduhan terhadap Deng Yuanqing, dengan mendakwa Filipina harus melindungi hak dan kepentingan rakyat China" yang berada di negara itu.-AFP.