fb fb fb fb fb

100 cedera, polis Israel serbu perkarangan Masjid Al-Aqsa

(Penduduk Palestin yang cedera dibawa keluar dari perkarangan
Masjid Al-Aqsa untuk diberi bantuan/AFP)

BAITULMAQDIS, 15 April- Kira-kira 100 penduduk Palestin cedera apabila pasukan keselamatan Israel menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa pada pagi Jumaat, kejadian yang kerap berlaku terutama ketikan bulan Ramadan.

Maklumat itu dikongsi petugas perubatan di sini yang turut memaklum sekurang-kurangnya tiga anggota polis Israel cedera.

Seorang pegawai Bulan Sabit Merah Palestin memberitahu AFP, “90 orang (penduduk Palestin) telah dibawa ke hospital Baitulmaqdis dan puluhan lagi dirawat dilokasi kejadian.”

Pegawai itu menyatakan mereka cedera terkena tembakan peluru getah, bom bunyi (sound grenades) selain dikasari.

Ia kejadian pertama berlaku di kawasan itu sejak awal Ramadan tahun ini.

 
(Polis Israel menghalang penduduk Palestin masuk ke Masjid Al-Aqsa
untuk menunaikan solat Jumaat/AFP)

Polis Israel mendakwa selepas subuh, "puluhan lelaki bertopeng" berhimpun di Masjid Al-Aqsa dan membaling batu ke arah Tembok Barat, tempat ibadat orang Yahudi.

Seorang saksi melihat pasukan keselamatan rejim Israel melepaskan peluru getah ke arah peserta protes yang membaling batu ke arah mereka.

Pertempuran antara ke dua-dua pihak semakin memuncak selepas tiga minggu kejadian serangan maut di Israel juga di kawasan yang diduduki rejim di Tebing Barat, berlaku ketika umat Islam menyambut Ramadan yang bertembung dengan sambutan perayaan Yahudi dan festival Easter bagi agama Kristian.

Kejadian terbaru sejak 22 Mac itu menyebabkan 14 orang mati di pihak Israel, manakala 21 penduduk Palestin terbunuh termasuk seorang pemuda yang didakwa melakukan serangan bersenjata di Tel Aviv.

Ramadan tahun lalu, konflik pencerobohan Israel antara tentera rejim dan penduduk Palestin yang ke Masjid Al-Aqsa, membawa kepada perang selama 11 hari antara tentera Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza. –AFP

Media Baharu