fb fb fb fb fb

10 mayat ditemukan dalam SUV, dipercayai angkara kartel dadah

FOTO REUTERS

MEXICO CITY, 7 Januari- 10 mayat ditemukan dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditinggalkan di sebatang jalan di negeri utara Mexico yang kini berdepan ancaman keganasan kumpulan kartel dadah.

Kejadian mengerikan itu berlaku pada awal pagi di dataran bandar Zacatecas, jelas Gabenor Negeri, David Monreal menerusi mesej di media sosial.

"Mayat-mayat tersebut menunjukkan tanda telah dipukul", katanya.

Dalam mesej twitter selanjutnya, Monreal memaklumkan pelaku telah ditahan, namun tidak menyatakan identiti mereka.

Kementerian Keselamatan Mexico yang mengesahkan jumlah mangsa dalam tragedi tersebut berkata, mereka telah menghantar anggotanya untuk membantu siasatan.

Kartel dadah terkenal Sinaloa dan Jalisco New Generation sering bertelagah di kawasan tersebut kerana berebut pasaran dan penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat, memetik kenyataan pihak berkuasa dan penganalisis.

Negeri Zacatecas sememangnya merekodkan siri keganasan sejak beberapa tahun lalu.

Pada November lalu, enam mayat ditemukan tergantung pada jambatan dan pokok di bandar Fresnillo.

Lebih 300,000 kematian direkodkan di seluruh Mexico, sejak kerajaan mengarahkan tentera memerangi kumpulan kartel dadah pada 2006. -AFP

Media Baharu