
NEW JERSEY, 23 Jun – Meskipun hujan lebat, ia tidak menghalang ribuan penyokong Norway daripada terus memeriahkan suasana menjelang perlawanan Piala Dunia Norway menentang Senegal.
- 'Viking Row' bergema di stadium, mencipta suasana pra-perlawanan penuh semangat.
- Penyokong memenuhi Meadowlands Racing Park, menyanyi dan bersorak sebelum Polis Negeri mengeluarkan amaran cuaca buruk.
- Polis mengisytiharkan tamat keadaan kecemasan pada pukul 4.15 petang, kira-kira tiga jam 45 minit sebelum sepak mula.
- Norway mara ke pusingan kalah mati selepas kemenangan 3-2 ke atas Senegal, disaksikan majoriti penyokong di stadium.
Aksi sorakan ikonik ‘Viking Row’ bergema di sekitar Stadium New York, New Jersey, hari ini.
Penyokong Norway dilihat memenuhi kawasan Meadowlands Racing Park yang terletak berhampiran stadium sambil menyanyikan lagu dan melakukan sorakan beramai-ramai sebelum pihak Polis Negeri New Jersey mengeluarkan amaran cuaca buruk.
Bagaimanapun, selepas amaran tersebut ditarik balik, suasana kembali rancak apabila sebahagian penyokong yang langsung tidak berlindung daripada hujan terus melakukan aksi ‘Viking Row’ yang menjadi tanda sokongan ikonik kepada pasukan mereka.
Pihak polis kemudiannya mengisytiharkan tamatnya keadaan kecemasan pada pukul 4.15 petang, Isnin (waktu tempatan), kira-kira tiga jam 45 minit sebelum sepak mula dijadualkan pada pukul 8.00 malam.
Selepas sorakan ‘Viking Row’ itu, majoriti penyokong dilihat bergerak menuju ke stadium bagi menyaksikan perlawanan yang dinanti-nantikan tersebut.
Aksi berkenaan sekali lagi membuktikan semangat luar biasa penyokong Norway yang tidak berganjak walaupun berdepan cuaca buruk, menjadikan suasana pra-perlawanan antara yang paling meriah di kejohanan kali ini.
Dalam perlawanan itu, Norway menempah slot ke pusingan kalah mati Piala Dunia dengan kemenangan 3-2 ke atas Senegal. – REUTERS