
KUALA LUMPUR, 5 Januari – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi pada Terbuka Malaysia 2026.
- Pearly-Thinaah fokus pamer aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri tanpa tekanan berlebihan terhadap keputusan.
- Mereka sedar kejohanan Super 1000 ini bukan medan kelebihan, jadi sasaran realistik untuk lepasi pusingan pertama.
- Undian awal menentang pasangan India, dengan kemungkinan bertemu pilihan Korea Selatan di suku akhir jika mara.
Gandingan ranking ke-2 dunia itu mengakui kejohanan bertaraf Super 1000 itu bukan medan yang memberi banyak kelebihan buat mereka sebelum ini.
Pearly berkata, tumpuan utamanya adalah untuk mempamerkan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri, tanpa meletakkan tekanan berlebihan terhadap keputusan.
“Semua orang tahu kami tak pernah bermain bagus di Malaysia Open, jadi sasaran utama kami adalah untuk lepasi pusingan pertama dan bermain dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan bagi menghadapi Terbuka Malaysia di ibu negara.
Saingan edisi lepas menyaksikan, Pearly-Thinaah terpaksa akur tunduk pada pusingan awal kepada pasangan dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti dengan keputusan 21-19, 14-21, 13-21.
Pada aksi pembukaan kali ini, Pearly-Thinaah selaku pilihan kedua dijadualkan menentang pasangan dari India, Rutaparna Panda-Swetaparna Panda.
Harapan negara itu berpotensi berdepan pilihan ke-6 dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee sekiranya berjaya mara sehingga peringkat suku akhir.
Terbuka Malaysia menawarkan wang hadiah keseluruhan AS$1.45 juta dolar.