Sukan Komanwel 2026: PAPBM sasar empat emas

Atlet angkat berat negara, Aznil Bidin ketika beraksi pada Sukan komanwel Birmingham/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Febuari – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyasarkan empat pingat emas pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland yang bakal berlangsung Julai depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PABM menyasarkan empat pingat emas pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.
  • Sasaran berdasarkan analisis prestasi dan kejayaan dua emas serta satu perak pada 2022.
  • Atlet utama termasuk Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Aznil Bidin dan beberapa nama lain.
  • Persiapan melibatkan kejohanan pemanas badan dan latihan intensif di Turkiye sebelum ke Glasgow.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata sasaran itu dibuat berdasarkan analisis prestasi semasa atlet serta mengambil kira kejayaan dua emas dan satu perak yang diraih pada edisi 2022.

“Kita telah menyumbang dua emas dan satu perak. Sepatutnya kita menyasarkan tiga emas. Kali ini kita akan cuba menambah satu lagi dan jika perancangan menjadi, kita mampu memperoleh sekurang-kurangnya empat emas selain beberapa pingat lain.

“Jika ini menjadi kenyataan, ia akan menjadi rekod terbaik angkat berat negara di Komanwel,” katanyayang ditemui media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja 2026 di Majlis Sukan Negara.

Jelasnya, sandaran utama masih terarah kepada Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60 Kilogram (kg), Muhammad Aznil Bidin (65kg), Muhamad Erry Hidayat (79kg), Mohamad Syahmi Nor Ghazali (94kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), selain beberapa atlet lain yang berpotensi menyumbang pingat.

Sebagai persiapan, skuad kebangsaan akan menyertai beberapa kejohanan pemanas badan termasuk menjalani latihan intensif selama tiga hingga empat minggu di Turkiye sebelum berlepas ke Glasgow.

Dalam perkembangan berkaitan, PABM turut mencadangkan atlet angkat berat, Aznil Bidin disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) bagi bagi bersama-sama Aniq dalam program elit berkenaan.

“Mesyuarat RTG yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan akan membuat keputusan sama ada setuju atau tidak dengan cadangan kita” Jelasnya.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos depan, dengan skuad angkat berat negara kini memasuki fasa persiapan rapi bagi merealisasikan misi emas di pentas antarabangsa.