
PETALING JAYA, 25 Januari – Skuad ragbi 15 sebelah wanita negara memulakan fasa persiapan intensif menjelang Kejohanan Persekutuan Ragbi Asia Tenggara (SEARF) 15s Wanita yang dijadual berlangsung pada Februari ini.
- Skuad ragbi wanita 15 sebelah jalani persiapan intensif menjelang kejohanan SEARF 15s Wanita pada Februari.
- 47 pemain hadir sesi latihan pusat, dengan 30 akan dipilih untuk senarai akhir.
- Latihan dijalankan berperingkat setiap Jumaat, Sabtu, Ahad serta sesi tambahan Selasa dan Khamis.
- Pasukan perlu sesuaikan kekuatan fizikal untuk format 15 sebelah; Malaysia sasar prestasi terbaik untuk muncul juara.
Ketua jurulatih, Raimi Md Yusof berkata, 47 pemain menghadiri sesi latihan pusat terbaharu yang turut melibatkan perlawanan persahabatan dalaman bagi menilai prestasi dan keserasian pemain.
Daripada jumlah itu, seramai 30 pemain akan dipilih sebagai senarai akhir skuad negara untuk menghadapi kejohanan berkenaan.
“Kebanyakan pemain-pemain ini adalah daripada pasukan sukma tujuh sebelah dimana ‘average’ mereka adalah daripada 19 hingga 23 tahun.
”Saya juga telah memanggil beberapa player yang senior untuk memantapkan dan membimbing juga pemain-pemain ini kerana kita tahu bahawa pasukan 15 sebelah ini adalah satu taktikal game,” katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas tamat perlawanan persahabatan bagi pemilihan pemain yang berlangsung di Padang ASTAKA, Petaling Jaya.
Tambah Raimi lagi, latihan pusat dijalankan secara berperingkat setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, selain sesi tambahan pada Selasa dan Khamis khusus untuk pemain yang berada di sekitar Kuala Lumpur.
Beliau turut mengakui peralihan daripada format tujuh sebelah kepada 15 sebelah memerlukan penyesuaian dari segi kekuatan fizikal, khususnya melibatkan situasi permainan seperti ‘scrum’ dan ‘line-out’.
Bagaimanapun, beliau optimis barisan pemain yang akan dipilih mampu menampilkan persembahan terbaik untuk muncul juara bagi kejohanan itu nanti.
Malaysia dijangka berdepan cabaran sengit daripada Filipina dan Singapura, selepas Indonesia menarik diri daripada kejohanan tersebut.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad ragbi 15 sebelah wanita negara beraksi adalah pada 2009 di Singapura, yang menyaksikan Malaysia muncul juara selepas menewaskan tuan rumah.
Skuad negara dijadual membuka kempen menentang Singapura pada 11 Februari ini di Padang Astaka, Petaling Jaya.