Skuad ragbi 7s negara perkemas persiapan akhir Sukan Asia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 September – Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara kini memasuki fasa akhir persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, dengan tahap kecergasan pemain menjadi antara aspek utama diberi perhatian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih menunggu keputusan perubatan seorang pemain yang sedang menjalani pemulihan kecederaan.
  • Fokus pasukan pada memastikan semua pemain berada pada tahap fizikal terbaik dan membina keserasian muka baharu.
  • Skuad menjalani sesi latihan bersama kelab Jepun Yamaha Blue Revs di Iwata sebagai pendedahan tambahan.
  • Kemenangan ke atas Uzbekistan jadi keutamaan untuk peluang mara ke suku akhir; Malaysia diundi bersama China dan Hong Kong.

Ketua jurulatih skuad ragbi 7s negara, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, secara keseluruhan pemain berada pada tahap kecergasan yang baik, namun pihaknya masih menunggu keputusan perubatan seorang pemain yang sedang menjalani proses pemulihan daripada kecederaan.

Menurutnya, fokus ketika ini adalah memastikan semua pemain berada pada tahap fizikal terbaik bagi menghadapi saingan berintensiti tinggi, selain membentuk keserasian bersama beberapa pemain yang tidak beraksi pada kejohanan sebelum ini.

“Kita hanya ada beberapa minggu sebelum Sukan Asia dan intensitinya memang tinggi kerana akan bertemu kuasa-kuasa besar Asia. Jadi, kita perlu pastikan pemain benar-benar bersedia menghadapi cabaran kali ini,” katanya ketika ditemui RTM.

Menjelang saingan di Aichi-Nagoya, skuad negara turut mendapat pendedahan tambahan menerusi sesi latihan bersama kelab Jepun, Yamaha Blue Revs di Iwata, Shizuoka.

“Saya harap pemain dapat mengambil sepenuhnya ilmu daripada jurulatih Yamaha Blue Revs dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk menghadapi Sukan Asia,” katanya.

Dalam saingan Sukan Asia nanti, Malaysia diundi dalam kumpulan bersama China, Hong Kong dan Uzbekistan.

Nik Safuan berkata, kemenangan ke atas Uzbekistan menjadi keutamaan bagi membuka peluang Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ketiga terbaik dan melangkah ke suku akhir.

Sementara itu, pemain skuad kebangsaan, Muhammad Zulhisham Rasli mengakui gandingan pemain berpengalaman dan muka baharu memerlukan masa untuk membentuk keserasian.

Bagaimanapun, katanya, tempoh persiapan yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Walaupun persiapan kita singkat, kita kena bekerja keras dan tempuhi apa sahaja cabaran. Harapan saya, kita main bermati-matian untuk ragbi Malaysia dan lakukan yang terbaik untuk negara,” jelasnya.

Skuad wanita dijadual berlepas ke Jepun pada 18 September 2026, manakala skuad lelaki menyusul pada 21 September bagi menjalani sesi latihan bersama Yamaha Blue Revs sebagai persiapan terakhir sebelum mengharungi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.