
KUALA LUMPUR, 30 Januari – Skuad futsal negara tewas 0-7 kepada Afghanistan pada aksi kedua Kumpulan D, Piala Asia Futsal 2026, di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, hari ini.
- Malaysia tewas 0-7 kepada Afghanistan dalam aksi kedua Kumpulan D Piala Asia Futsal 2026.
- Empat gol Afghanistan dijaringkan pada babak pertama, tiga lagi pada babak kedua.
- Kekalahan mengekalkan Malaysia tanpa mata dan di tangga tercorot kumpulan.
- Malaysia akan menamatkan saingan kumpulan menentang Arab Saudi, Ahad ini.
Afghanistan mendahului 4-0 pada babak pertama menerusi jaringan Seyed Hossein Mousavi, Farzad Mahmoodi, Sayed Mojtaba Husseini dan Mohammad Moradi.
Babak kedua menyaksikan Reza Hossein Poor, Javed Safari dan Omid Qanbari menutup kemenangan besar pasukan lawan.
Kekalahan itu mengekalkan Malaysia di tangga tercorot tanpa mata, manakala Afghanistan kini mendahului kumpulan dengan enam mata, diikuti Iran yang turut mengumpul enam mata namun dipisahkan oleh perbezaan jaringan.
Skuad negara bimbingan Addie Azwan Zainal sebelum ini tewas 1-4 kepada Iran dan akan menamatkan saingan kumpulan menentang Arab Saudi, Ahad ini.
Untuk rekod, skuad futsal Harimau Malaya gagal melayakkan diri ke dua edisi Piala Asia Futsal sebelum ini, iaitu di Kuwait pada 2022 dan Thailand pada 2024.
Dalam 12 penampilan sejak 1999, Malaysia hanya beraksi di peringkat kumpulan dan masih belum pernah mara ke suku akhir. – BERNAMA