
MADRID, 17 Januari – Real Madrid perlu fokus sepenuhnya kepada perlawanan akan datang dalam LaLiga, termasuk aksi menentang Levante.
- Arbeloa mahu pemain fokus sepenuhnya kepada perlawanan LaLiga seterusnya tanpa terikat kegagalan lalu.
- Beliau mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan mengejut kepada Albacete dan mengakui kekurangan pasukan.
- Real Madrid kini ketinggalan empat mata di belakang Barcelona dan perlu bangkit segera.
- Arbeloa menyeru sokongan penyokong dan menegaskan Jude Bellingham sebagai tonggak pemimpin masa depan.
Jurulatih baharunya, Alvaro Arbeloa, berkata pasukan tidak seharusnya dibelenggu kegagalan lalu dan perlu bangkit.
Arbeloa menegaskan demikian pada sidang media selepas mengendalikan sesi latihan pada Jumaat, yang turut disertai bintang utama seperti Kylian Mbappe, Vinicius Jr, Jude Bellingham dan penjaga gol Thibaut Courtois.
“Ia adalah mentaliti Real Madrid. Masa lalu tidak wujud. Sama ada anda memenangi Liga Juara atau tersingkir kepada Albacete, anda perlu memikirkan perlawanan seterusnya dan berusaha untuk menang,” katanya.
Arbeloa mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada Isnin lalu susulan pemergian Xabi Alonso, namun permulaan beliau dicemari kekalahan mengejut 3-2 kepada kelab divisyen dua, Albacete, dalam pusingan 16 Copa del Rey pada Rabu.
Jurulatih berusia 42 tahun itu mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan tersebut, sambil menegaskan ia bukan disebabkan kesilapan jurulatih terdahulu.
“Apa yang berlaku di Albacete adalah kekurangan idea, permainan, kekuatan fizikal dan banyak perkara lain. Saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Ketika ini, Real Madrid ketinggalan empat mata di belakang seteru utama mereka, Barcelona, dalam saingan LaLiga, selain sudah tersingkir daripada Copa del Rey.
Arbeloa turut merayu sokongan penyokong setia kelab meskipun prestasi pasukan mengecewakan kebelakangan ini.
“Saya menghormati pandangan penyokong di Santiago Bernabeu. Saya faham mereka kecewa dan terluka, tetapi saya berharap mereka terus menyokong pemain,” katanya.
Mengulas mengenai Jude Bellingham, Arbeloa menyifatkan pemain tengah England itu sebagai tonggak penting dan pemimpin masa depan pasukan.
“Apabila melihatnya dari dekat, anda lebih memahami bakat dan kualiti yang dimilikinya. Dia perlu menjadi antara pemimpin pasukan, dengan keupayaannya mencipta dan membina permainan serta kerap berada di dalam kotak penalti,” katanya.
Real Madrid dijadual menentang Levante dalam perlawanan LaLiga seterusnya ketika pasukan itu berusaha bangkit daripada kekecewaan dan merapatkan jurang di puncak liga. – REUTERS