
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Separuh akhir Piala FA 2026 menyaksikan Selangor FC dan Kelab dari Brunei, DPMM FC mengesahkan kemaraan selepas melepasi halangan masing-masing pada aksi suku akhir kedua malam tadi.
- Selangor tewas 2-3 kepada Star City tetapi mara ke separuh akhir dengan agregat 6-4.
- Zikri Khalili dan Vitor Pernambuco meledak awal; Star City bangkit melalui Moses Atede, Pedro Santos dan Ramon Machado.
- DPMM menang keseluruhan 4-3 selepas Jordan Murray menjaringkan gol awal; mereka akan berdepan juara bertahan JDT.
Bertempat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor FC mengesahkan kemaraan ke separuh akhir walaupun tewas 2-3 kepada Star City FC pada aksi timbal balik.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad The Red Giants bermula garang apabila Zikri Khalili membuka jaringan seawal minit kesembilan.
Vitor Pernambuco kemudian menggandakan kelebihan untuk Selangor mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, Star City bangkit pada babak kedua apabila Moses Atede merapatkan jurang pada minit ke-62, diikuti jaringan penyamaan Pedro Santos.
Ramon Machado kemudian melengkapkan kebangkitan pelawat menerusi gol di penghujung permainan.
Namun, kemenangan 3-2 itu tidak cukup untuk menafikan kemaraan Selangor ke kelompok empat terbaik.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon mara dengan agregat 6-4 dan bakal berdepan Kuching City FC pada aksi separuh akhir.
Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pula menyaksikan pasukan Brunei, DPMM FC turut melepasi halangan ke separuh akhir menewaskan Kuala Lumpur KL City FC dengan DPMM mara menerusi agregat 4-3.
Dalam aksi itu, gol tunggal perlawanan dijaringkan Jordan Murray seawal minit ke-11 selepas menyudahkan hantaran jauh Tommy Mawat Bada.
Keputusan itu telah cukup buat kelab Brunei selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi suku akhir pertama di Bandar Seri Begawan.
Pada separuh akhir nanti, DPMM bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).