Piala Dunia 2026: Lapan pasukan rebut tiket separuh akhir

Foto AFP

KANSAS CITY, 8 Julai – Saingan Piala Dunia 2026 kini memasuki fasa suku akhir dengan hanya lapan pasukan terbaik dunia kekal dalam perebutan kejuaraan, menjanjikan pertembungan sengit bermula Khamis ini di Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan Perancis lawan Maghribi; Perancis pilihan dengan Mbappé, Maghribi belum tewas dan mahu membalas kekalahan separuh akhir 2022.
  • Sepanyol temu Belgium; Sepanyol rekod enam perlawanan tanpa bolos, Belgium berkeyakinan selepas tewaskan Amerika Syarikat 4-1.
  • England diuji Norway; Haaland yang sudah meledak tujuh gol menjadi ancaman besar kepada benteng England.
  • Argentina dijangka lawan Switzerland; Messi nadi Argentina, Switzerland berdisiplin selepas singkir Colombia menerusi penalti.

Antara tumpuan utama adalah perlawanan melibatkan Perancis dan Maghribi.

Perancis tampil sebagai antara pasukan pilihan dengan aksi konsisten sejak peringkat kumpulan, dibarisi jentera serangan berbisa diketuai Kylian Mbappe.

Namun, Maghribi yang masih belum tewas tidak boleh dipandang mudah, apatah lagi mereka memasang misi membalas kekalahan kepada Perancis di separuh akhir edisi 2022.

Sementara itu, Sepanyol bakal berdepan Belgium dalam satu lagi aksi menarik di Los Angeles.

Juara Eropah itu mencipta rekod baharu kejohanan dengan enam perlawanan tanpa bolos, namun Belgium hadir dengan keyakinan tinggi selepas membelasah Amerika Syarikat 4-1.

Generasi emas Belgium yang diterajui Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku pastinya mahu menamatkan kempen ini dengan penuh gemilang.

Di Miami, England akan diuji Norway yang dipimpin penyerang sensasi, Erling Haaland.

England yang diperkuat Harry Kane dan Jude Bellingham dilihat semakin padu, namun kehadiran Haaland yang sudah meledak tujuh gol setakat ini bakal menjadi ancaman besar kepada benteng pertahanan mereka.

Juara bertahan, Argentina pula dijangka berdepan cabaran getir menentang Switzerland di Kansas City. Pasukan kendalian Lionel Scaloni itu sebelum ini terpaksa bangkit daripada situasi sukar dalam dua perlawanan terdahulu, dengan Lionel Messi terus menjadi nadi utama pasukan.

Switzerland pula hadir sebagai pasukan berdisiplin tinggi dan sukar ditembusi, selepas menyingkirkan Colombia menerusi penentuan penalti.

Dengan setiap pasukan memiliki kekuatan tersendiri, aksi suku akhir kali ini dijangka berlangsung sengit dan penuh dramatik dalam usaha memburu tiket ke separuh akhir serta seterusnya menjulang trofi paling berprestij dunia.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.