
KANSAS CITY, 8 Julai – Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, tidak dapat menahan sebak selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Mesir 3-2 sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia.
- Scaloni puji keyakinan pemain, menegaskan mereka tidak pernah berasa peluang telah hilang walau ketinggalan dua gol.
- Messi terlepas penalti awal tetapi menyumbang gol dan satu bantuan untuk memulakan kebangkitan Argentina.
- Enzo Fernández menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan; Scaloni anggap detik itu luar biasa bagi pemain berpengalaman.
Scaloni turut dilihat mengalirkan air mata bersama kapten pasukan, Lionel Messi, selepas juara bertahan itu mencipta kebangkitan dramatik daripada ketinggalan dua gol.
Argentina yang masih ketinggalan 0-2 ketika perlawanan berbaki 11 minit berjaya merapatkan jurang menerusi Cristian Romero sebelum Messi menyamakan kedudukan.
Gol kemenangan pula dijaringkan Enzo Fernández pada masa kecederaan bagi mengelakkan kejutan daripada wakil Afrika Utara itu.
“Saya memang mudah tersentuh. Kadang-kadang air mata mengalir begitu sahaja. Di bilik persalinan pun saya menangis. Para pemain memanggil saya ‘si kaki menangis’, tetapi saya tidak kisah.
“Bagi kami yang bermain bola sepak selama 20 tahun, dapat merasai detik seperti ini sekali lagi memang luar biasa.
“Saya rasa kebanyakan jurulatih yang pernah menjadi pemain memilih kerjaya ini kerana saat-saat seperti ini, kerana emosi dan adrenalin yang dirasai,” katanya kepada pemberita.
Scaloni berkata, beliau tidak pernah merasakan Argentina sudah kehilangan peluang walaupun ketinggalan dua gol.
Menurutnya, persembahan kali ini jauh lebih baik berbanding aksi pusingan terdahulu ketika Argentina dipaksa beraksi sehingga masa tambahan sebelum menewaskan Cape Verde 3-2.
“Ketika menentang Cape Verde keadaan lebih sukar. Kami benar-benar berada dalam tekanan.
“Hari ini, walaupun ketinggalan 0-2, saya tetap merasakan kami akan memperoleh peluang untuk bangkit.
“Kami bermain dengan corak yang sama sekali berbeza hari ini,” katanya.
Scaloni turut memuji Messi yang kini berusia 39 tahun, meskipun kapten itu gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama.
Messi bagaimanapun menjadi pencetus kebangkitan Argentina apabila menjaringkan satu gol serta mencipta satu bantuan jaringan.
“Ia detik yang tidak akan saya lupakan, antara yang terbaik pernah saya alami.
“Apa sahaja yang berlaku selepas ini, pasukan ini sentiasa memberi keyakinan kepada saya bahawa mereka tidak pernah berhenti percaya walaupun segala-galanya kelihatan tidak memihak kepada kami,” katanya.
Argentina akan menentang pemenang antara Switzerland atau Colombia pada aksi suku akhir di Kansas City, Sabtu ini.- REUTERS