Pelantikan Brendon, perkukuh taktikal Speedy Tigers – MHC

Ketua Jurulatih Speedy Tigers baharu, Brendon Carolan

KUALA LUMPUR, 18 Mac– Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) membuat keputusan drastik apabila melantik Brendon Carolan sebagai ketua jurulatih baharu skuad Speedy Tigers bagi menggantikan Sarjit Singh yang telah tamat kontrak pada Disember tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus utama kini Sukan Asia sebagai laluan penting untuk kelayakan Olimpik 2028, memerlukan perubahan taktikal dan pendekatan baru.
  • Jurulatih baharu berpengalaman antarabangsa, mendapat sokongan pemain dan diberi kebebasan membentuk barisan kejurulatihan sendiri.
  • Kontrak setahun bermula April dengan KPI jelas tertumpu pada prestasi Sukan Asia; persiapan padat termasuk Piala Negara-Negara dan Piala Dunia.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh Lembaga Eksekutif MHC selepas menilai keperluan perubahan segera dalam aspek taktikal dan pendekatan permainan.

Menurut beliau, langkah berkenaan bukan berpunca daripada prestasi semata-mata, sebaliknya didorong keperluan memperkenalkan aspek baharu dalam usaha menghadapi cabaran lebih besar, khususnya Sukan Asia yang hanya berbaki enam bulan.

“Fokus utama kita sekarang adalah Sukan Asia kerana itu laluan penting untuk kita layak ke Olimpik 2028. Jadi kita perlukan sedikit perubahan dan pendekatan berbeza,” katanya pada sesi sidang media di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, di sini.

Dalam masa sama, MHC merakamkan penghargaan kepada Sarjit atas sumbangannya sepanjang dua tahun bersama skuad negara termasuk membantu pasukan layak ke Piala Dunia.

Brendon yang berasal dari Afrika Selatan dan kini menetap di Dublin, Ireland, bukanlah nama asing dalam struktur hoki negara.

Beliau pernah berperanan sebagai penolong jurulatih bersama beberapa jurulatih terdahulu selain memiliki pengalaman sebagai ketua jurulatih sementara Ireland.

Pemilihannya turut mengambil kira faktor keserasian dengan pemain kebangsaan, selain mendapat sokongan daripada barisan pemain sendiri selepas sesi perbincangan bersama mereka.

“Kita bukan buat keputusan secara bersendirian. Kita dengar pandangan pemain kerana mereka yang bekerja rapat dengan jurulatih setiap hari. Mereka menyokong pelantikan Brendon,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Brendon diberi kontrak selama setahun bermula 1 April ini dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas, antaranya pencapaian dalam kempen Sukan Asia.

Selain itu, jurulatih baharu itu juga akan diberi kebebasan untuk membentuk barisan kejurulatihannya sendiri sebaik tiba di Malaysia minggu depan.

Pelantikan itu hadir pada saat kritikal buat Speedy Tigers yang bakal mengharungi jadual padat termasuk Kejohanan Piala Negara-Negara dalam tempoh terdekat serta persiapan ke Piala Dunia.