Pearly-Thinaah ke pentas akhir Terbuka Artik

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bangkit daripada ketinggalan, sebelum mengesahkan kemaraan ke final Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly-Thinaah bangkit selepas ketinggalan untuk mara ke final Terbuka Artik 2025 di Vantaa.
  • Mereka tewas set pertama 24-22 tetapi dominan menang set kedua 21-8.
  • Mereka menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-17 dalam set penentuan.
  • Akan berdepan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, bagi perebutan gelaran juara esok.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Vantaan Energia Areena, pasangan pilihan kedua kejohanan itu dikejutkan oleh gandingan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu, yang merampas set pembukaan 24-22 dalam pertarungan sengit.

Namun, Pearly-Thinaah tidak panik dan kembali ke gelanggang dengan lebih fokus untuk mempamerkan dominasi penuh di set kedua, meraih kemenangan mudah 21-8.

Set penentuan berlangsung lebih dramatik apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata, namun ketangkasan dan pengalaman wakil Malaysia sukar dinafikan, apabila mereka menoktahkan kemenangan 21-17 untuk mara ke pentas akhir.

Kejayaan ini turut mengukuhkan rekod tanpa kalah 2-0 Pearly-Thinaah ke atas pasangan Taiwan tersebut.

Gandingan negara yang menamatkan saingan sebagai naib juara edisi terdahulu, bakal berdepan cabaran getir esok apabila bertemu beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, bagi merebut gelaran juara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.