
MELBOURNE, 12 Januari – Bekas pemain tenis nombor tiga dunia, Milos Raonic mengumumkan persaraannya daripada sukan itu, sekali gus menamatkan karier cemerlang yang menyaksikan beliau merangkul lapan gelaran ATP.
- Raonic mengumumkan persaraan pada usia 35 selepas kerap dibelenggu kecederaan.
- Beliau meraih lapan gelaran ATP dan menjadi lelaki Kanada pertama ke final Grand Slam.
- Musim terbaik pada 2016 termasuk final Wimbledon dan penamat musim sebagai nombor tiga dunia.
Pemain berusia 35 tahun yang terkenal dengan servis padu itu merupakan pemain lelaki Kanada pertama mara ke final perseorangan Grand Slam, namun tidak beraksi dalam sebarang kejohanan sejak lebih setahun lalu.
Raonic yang sering dibelenggu kecederaan berkata menerusi media sosial sudah tiba masanya untuk beliau menggantung raket.
“Ini adalah saat yang anda tahu akan tiba suatu hari nanti, tetapi entah mengapa anda tidak pernah benar-benar bersedia.
“Inilah tahap paling bersedia yang saya mampu. Saya berasa sangat bertuah kerana dapat merealisasikan dan memenuhi impian saya,” katanya.
Musim terbaik Raonic hadir pada 2016 apabila beliau mara ke final Wimbledon selepas menewaskan Roger Federer di separuh akhir, sebelum tewas kepada Andy Murray dalam perlawanan penentuan.
Pada tahun yang sama, beliau turut mara ke separuh akhir Terbuka Australia dan layak ke Kejohanan Jelajah Akhir ATP, menamatkan musim sebagai pemain nombor tiga dunia.
Penampilan terakhir Raonic adalah di Sukan Olimpik Paris 2024.