Manchester City benam Liverpool 4-0, mara ke separuh akhir Piala FA

Erling Haaland meraikan kemenangan menentang Liverpool 4-0/ REUTERS

MANCHESTER, 5 April – Erling Haaland meledak hatrik ketika Manchester City menundukkan Liverpool 4-0 di Stadium Etihad pada Sabtu (4 April), sekali gus melangkah ke separuh akhir Piala FA.

RINGKASAN BERITA AI
  • Liverpool bermain baik dalam 30 minit pertama, Mohamed Salah mensia-siakan peluang awal.
  • Penalti diberikan pada minit ke-37 akibat kekasaran terhadap Nico O'Reilly.
  • Antoine Semenyo terlibat dua kali: hantaran untuk gol tandukan sebelum rehat, kemudian menjaringkan selepas separuh masa kedua.
  • Mohamed Salah gagal penalti diselamatkan James Trafford, sambil penyokong mula meninggalkan stadium dan Guardiola membuat pertukaran.

Juara bertahan Liverpool bermain baik dalam 30 minit pertama dengan Mohamed Salah mensia-siakan peluang awal. Namun, selepas Haaland menjaringkan gol penalti pada minit ke-37 berikutan kekasaran terhadap Nico O’Reilly, pertahanan Liverpool mula rapuh.

Haaland menambah gol keduanya dua minit sebelum tamat separuh masa pertama dengan tandukan kemas hasil hantaran lintang Antoine Semenyo.

Semenyo turut mencatat nama di papan jaringan lima minit selepas separuh masa kedua bermula, mengelecek bola daripada hantaran Rayan Cherki sebelum menyingkirkan Giorgi Mamardashvili, manakala Haaland menamatkan hatriknya pada minit ke-57 dengan rembatan menerjah gawang gol.

Malang bagi Liverpool, Mohamed Salah, yang dijangka meninggalkan kelab pada penghujung musim, gagal menyempurnakan penalti apabila dihalang James Trafford, memadamkan sebarang harapan untuk kebangkitan.

Ketika permainan berakhir sebagai kemenangan besar City, ramai penyokong Liverpool mula meninggalkan stadium, manakala pengurus Pep Guardiola membuat beberapa pertukaran termasuk menggantikan Haaland dengan Omar Marmoush, striker Norway itu menerima tepukan gemuruh ketika meninggalkan padang.

Dalam perlawanan suku akhir lain, Chelsea akan menentang Port Vale, Southampton menanti Arsenal pada Sabtu, manakala Leeds United akan bertandang ke West Ham United pada Ahad.- REUTERS