
KUALA NERUS, 28 Februari – Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk mengutip mata di laman sendiri lebur apabila tewas tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam tadi.
- TFC tewas tipis 0-1 kepada KL City FC di laman sendiri walaupun dominasi tidak berbuah jaringan.
- Gol kemenangan Antonio Gomez pada minit ke-61 memutuskan perlawanan selepas gol TFC dibatalkan VAR.
- Jurulatih TFC kesal dengan kesilapan mudah; KL City puji tekanan perlawanan dan kondisi padang.
Impian pasukan tuan rumah, TFC untuk meraikan gol pertama di hadapan penyokong mereka terbantut, setelah jaringan oleh Gervane Kastaneer di minit ke-36 separuh masa pertama dibatalkan oleh pengadil melalui penentuan video bantuan pengadil (VAR).
Situasi itu sekaligus mengikat keputusan seri tanpa jaringan buat TFC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) untuk menamatkan aksi separuh masa pertama.
Babak aksi separuh kedua kembali menambah tekanan buat pasukan tuan rumah setelah pemain jentera tengah KL City FC, Antonio Gomez berjaya mendapat gol pendahuluan perlawanan di minit ke-61 separuh masa kedua.
Skuad penyu di bawah kendalian Tengku Hazman Raja Hassan terus buntu untuk mencipta rentak walaupun pasukan pelawat juga rapuh melakukan kesilapan.
Perlawanan tamat dengan keputusan 1-0 milik pasukan pelawat untuk mengukuhkan KL City FC di tangga kedua liga berbekalkan 36 mata manakala Terengganu FC masih kekal di tangga kelima liga.
“Masih lagi yang kita buat ‘silly mistake’..masih lagi, saya dah beritahu kalau kita bermain dengan pasukan-pasukan macam KL City FC yang dibarisi pemain pengalaman, kita akan dihukum macam ini, jadi sekali lagi kita bertahan baik sebelum itu dan kita melepaskan gol yang saya rasa mudah, gol yang mudah,” jelas jurulatih TFC, Tengku Hazman Raja Hassan
“Perlawanan yang sukar, teramat banyak tekanan ditambah padang yang tidak membantu, amat sukar untuk bermain,” tegas ketua jurulatih KL City FC, Risto Vidakovic.