Liga M Awards ganti ABK

Foto FB Malaysian Football League

KUALA LUMPUR, 8 Julai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) tampil dengan wajah baharu apabila Malaysian Football League (MFL) menjenamakannya semula sebagai ‘Liga M Awards’, bermula edisi musim 2025-2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan penjenamaan disahkan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Ke-2, dipengerusikan Presiden Datuk Ab Ghani Hassan.
  • Penjenamaan semula memberi identiti lebih tepat dan pengiktirafan terhadap kecemerlangan individu serta pasukan dalam saingan MFL.
  • Edisi sulung dijadual Ogos depan; tarikh baharu membolehkan penilaian menyeluruh termasuk baki Liga Super dan kejohanan piala.
  • Sebanyak 15 kategori; FAN XI dan Gol Terbaik melalui undian penyokong, kategori lain ditentukan jurulatih, kapten dan wakil media.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-2 bagi Penggal 2025-2029 yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan.

Menurut kenyataan itu, penjenamaan semula itu bertujuan memberikan identiti lebih tepat kepada anugerah berkenaan yang memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan individu dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

Berbeza dengan ABK sebelum ini yang meliputi ekosistem bola sepak negara secara lebih meluas, Liga M Awards akan memberi fokus khusus terhadap pencapaian dalam pertandingan kendalian MFL.

Edisi sulung Liga M Awards 2025-2026 dijadual berlangsung pada Ogos depan, berbeza daripada kebiasaan sebelum ini yang diadakan sejurus selepas tamat musim.

MFL menjelaskan perubahan tarikh penganjuran itu membolehkan proses penilaian dibuat dengan lebih menyeluruh, mengambil kira keseluruhan aksi rasmi Liga Malaysia termasuk baki saingan Liga Super, kejohanan piala domestik serta perlawanan akhir Piala Malaysia.

Pendekatan baharu itu diyakini mampu memberikan gambaran lebih tepat terhadap prestasi sebenar pemain, jurulatih dan pasukan sepanjang musim, selain memastikan aksi penting di penghujung kempen turut diberi pertimbangan dalam pemilihan pemenang.

Bagi edisi pertama Liga M Awards, sebanyak 15 kategori anugerah akan dipertandingkan selepas dua kategori berkaitan Piala MFL digugurkan berikutan kejohanan berkenaan tidak lagi dianjurkan mulai musim 2025-2026.

Sementara itu, kategori FAN XI dan Gol Terbaik akan ditentukan menerusi undian penyokong yang akan dibuka melalui laman sesawang rasmi MFL dalam masa terdekat.

Bagi kategori lain pula, pemilihan pemenang akan dibuat menerusi undian ketua jurulatih, kapten pasukan Liga Malaysia serta wakil media.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.