KUALA LUMPUR, 12 November– Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin memulakan kempen dengan langkah positif selepas mara ke pusingan kedua Kumamoto Masters Jepun, hari ini.
- Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan dalam perlawanan tiga set sengit.
- Gandingan negara akan berdepan beregu Thailand Dechapol-Supissara pada pusingan berikutnya.
- K. Letshanaa layak ke pusingan kedua selepas menewaskan Keisha Fatimah Azzahra dengan keputusan lurus set.
- Dua beregu campuran dan pemain perseorangan lelaki Justin Hoh tersingkir awal pada pusingan pertama.
Pada perlawanan berlangsung di Kumamoto Prefectural Gymnasium, wakil negara di ranking ke-20 dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menafikan kemaraan, Wu Hsuan-Yi-Yang Chu Yun dari Taiwan, 21-18, 18-21, 21-19.
Gandingan negara dijadualkan berdepan beregu Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Turut mara ke pusingan kedua, pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa yang mengetepikan Keisha Fatimah Azzahra dari Azerbaijan, 25-23, 21-8 untuk menempah pertemuan dengan Chiu Pin-Chan dari Taiwan.
Nasib berbeza buat dua beregu campuran iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang terkandas di pusingan pertama.
Soon Huat-Shevon Lai tunduk kepada pasangan tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 17-21, 13-21 manakala Tien Ci-Chiew Sien tewas kepada Liu Kuang heng-Jheng Yu Chieh dari Taiwan 15-21, 16-21.
Turut pulang awal, perseorangan lelaki negara Justin Hoh yang dikalahkan Shogo Ogawa dari Jepun 14-21, 9-21. -BERNAMA