
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Perenang negara, Khiew Hoe Yean menyasarkan untuk memadam rekod kebangsaan acara 400 meter (m) gaya bebas menerusi Sukan Asia 2026 di Jepun dan Sukan Komanwel 2026 di Scotland.
- Hoe Yean sasar pecah rekod 400m gaya bebas untuk capai masa 3:45–3:46 dan layak ke final peringkat dunia.
- Rekod kebangsaan semasa 3:47.38 dicatatnya di Sukan Universiti Dunia 2025, mengatasi rekod lama 3:48.36.
- Dia minta jurulatih berkontrak jangka panjang kerana pertukaran jurulatih kerap menjejaskan perancangan latihan.
Atlet berusia 23 tahun itu berharap dapat mencatatkan rekod baharu bagi membolehkannya berada pada tahap perenang berkelas dunia, sekali gus mencerahkan peluang mara ke final Kejohanan Dunia tahun depan.
“Kalau dapat antara 3 minit 45 saat (s) atau 3 minit 46s,
saya boleh setanding perenang dunia dan kedudukan itu selamat untuk layak ke final. Itu sasaran saya tahun ini,” katanya.
Rekod kebangsaan acara berkenaan ketika ini juga miliknya dengan catatan 3 minit 47.38 saat yang dilakar pada Sukan Universiti Dunia 2025 di Berlin, Jerman, sekali gus memecahkan rekod lama 3:48.36 s.
Hoe Yean berkata dia kini berada dalam keadaan terbaik untuk memburu sasaran itu, namun perlu kekal disiplin dan konsisten dalam latihan.
Dalam perkembangan sama, dia berharap Akuatik Malaysia menyediakan jurulatih dengan kontrak jangka panjang bagi memastikan kesinambungan program latihan atlet.
Katanya, perubahan jurulatih yang kerap sejak 2023 sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perancangan latihan dan pembangunan prestasi.
Terdahulu, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Eric Anderson tidak menyambung kontrak yang berakhir 31 Disember 2025 dan jawatan itu dijangka diisi bulan ini.