
LONDON, 20 Mei – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, enggan mengulas mengenai masa depannya bersama kelab itu selepas skuad kendaliannya gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
- Keputusan seri 1-1 menentang Bournemouth menyingkirkan City dan mengesahkan Arsenal sebagai juara Liga Perdana musim ini.
- Guardiola akan berbincang dengan pihak pengurusan kelab sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.
- Beliau mengucapkan tahniah kepada Arsenal serta Arteta, dan memuji ketahanan serta semangat juang pasukannya.
- Ribuan penyokong Arsenal membanjiri jalan serta Stadium Emirates meraikan kejuaraan selepas 22 tahun.
Keputusan seri 1-1 menentang Bournemouth menyaksikan City tersingkir daripada perebutan kejuaraan dalam saingan yang sengit, sekali gus mengesahkan Arsenal sebagai juara liga musim ini.
Guardiola berkata, sebarang keputusan mengenai masa depannya hanya akan dibuat selepas berbincang dengan pihak pengurusan kelab.
“Saya perlu bercakap dengan pengerusi kelab terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya akan membuat keputusan,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Dalam masa sama, Guardiola mencucapkan tahniah kepada Arsenal selepas skuad kendalian Mikel Arteta itu disahkan sebagai juara EPL.
Menurut Guardiola, The Gunners dan Arteta layak bergelar juara selepas melalui musim yang sangat kompetitif, selain memuji ketahanan pasukannya sendiri yang berjuang sehingga penghujung saingan.
“Tahniah Arsenal, Arteta, staf kejurulatihan serta penyokong. Mereka memang layak memenangi liga ini,” katanya.

Beliau turut mengakui musim ini mencabar buat City walaupun pasukannya terus berjuang hingga ke peringkat akhir. Tambah Guardiola, beliau kekal komited sepanjang saingan berlangsung dan menegaskan fokusnya hanya kepada pasukan.
“Setiap kali dalam pertandingan, saya fokus sepenuhnya kepada tugas saya. Itulah yang saya perlu lakukan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, ribuan penyokong Arsenal membanjiri jalan sekitar ibu kota dan Stadium Emirates bagi meraikan kejayaan pasukan itu menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang trofi liga, sekali gus mencetuskan suasana pesta besar-besaran dalam kalangan penyokong.
Sorakan, nyanyian dan laungan penuh emosi bergema sejurus keputusan seri 1-1 antara Manchester City dan Bournemouth disahkan.
Para penyokong berhimpun beramai-ramai hingga lewat malam, dengan ada yang membawa replika trofi EPL, selain mengibarkan bendera kelab sebagai tanda kebanggaan. – REUTERS