
SEPANG, 25 Ogos – Kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan dan jalan negeri di sekitar Sepang dijangka siap pada pertengahan September ini sebelum Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 berlangsung pada Oktober depan.
- Peruntukan RM17.5 juta disalurkan untuk kerja naik taraf jalan termasuk pembaikan permukaan, perabot jalan dan lampu jalan.
- Kerajaan Persekutuan memperuntuk RM16 juta bagi penyelenggaraan laluan FT26, FT27, FT29 dan FT344.
- Kerajaan negeri Selangor menyediakan RM1.5 juta untuk menaik taraf Jalan Negeri B48 Jenderam-Sepang.
- Litar Antarabangsa Sepang akan ditutup awal September untuk memberi laluan kerja penambahbaikan sebelum perlumbaan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu merangkap Ahli Parlimen Sepang berkata, kerja penambahbaikan yang merangkumi pembaikan permukaan jalan, penyelenggaraan perabot jalan serta lampu jalan itu melibatkan peruntukan RM17.5 juta.
Daripada jumlah itu, RM16 juta bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan melibatkan laluan FT26, FT27, FT29 dan FT344 manakala Kerajaan negeri Selangor menyediakan RM1.5 juta bagi kerja menaik taraf Jalan Negeri B48 (Jenderam–Sepang).
“Alhamdulillah… hasil daripada penganjuran F1, kita menerima peruntukan lebih awal. Lazimnya, proses mendapatkan peruntukan bergantung kepada kedudukan kewangan negara.
“Jalan-jalan yang sedang dinaik taraf akan siap pada pertengahan September ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Semarak Kasih Rasulullah, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Aiman memaklumkan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan ditutup bermula awal September bagi memberi laluan kerja penambahbaikan sebelum perlumbaan bermula.