Datuk Ab Ghani terajui FAM, bawa pengalaman luas perkasa arena bola sepak

Datuk Ab Ghani Hassan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 September – Datuk Ab Ghani Hassan kini menggalas tanggungjawab baharu sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas dipilih meneruskan baki penggal pentadbiran 2025-2029.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membawa pengalaman luas dari MFL, termasuk Presiden (2021–2026), Ketua Pegawai Eksekutif (2020–2021) dan anggota Lembaga Pengarah.
  • Pengalaman pentadbiran FAM sebelum ini sebagai Naib Presiden (2017–2021), Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Sains Sukan serta Pengurus Pasukan B-19.
  • Latar sebagai pemain, mewakili skuad kebangsaan peringkat umur dan bermain untuk Negeri Sembilan (1982–1990), menambah kredibiliti bidang teknikal.

Pemilihannya pada Kongres Luar Biasa (EGM) FAM hari ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan kerjaya beliau yang telah merentasi pelbagai peringkat bola sepak negara, sama ada sebagai pemain mahupun pentadbir.

Pengalaman luas itu menjadi antara kekuatan yang dibawa Datuk Ab Ghani ke Wisma FAM ketika harapan kini tertumpu kepada usaha memperkukuh pengurusan serta membawa bola sepak negara terus melangkah ke hadapan.

Sebelum menerajui FAM, beliau memainkan peranan penting dalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL), termasuk sebagai Presiden dari 2021 hingga 2026 dan Ketua Pegawai Eksekutif antara 2020 hingga 2021, selain pernah menganggotai Lembaga Pengarah badan itu.

Hubungannya dengan FAM pula bukan sesuatu yang baharu apabila beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden dari 2017 hingga 2021.

Dalam tempoh itu, beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Sains Sukan serta Pengurus Pasukan Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan.

Asas kepimpinannya dalam pentadbiran bola sepak dibina lebih awal di peringkat negeri bersama Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

Beliau berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif dari 2005 hingga 2011 sebelum dilantik sebagai Naib Presiden dari 2011 hingga 2018.

Namun, perjalanan Datuk Ab Ghani dalam bola sepak bermula jauh lebih awal daripada dunia pentadbiran apabila beliau sendiri pernah merasai cabaran sebagai pemain.

Beliau menyarung jersi skuad kebangsaan di peringkat umur menerusi Kejohanan Lion City Cup B-15 di Singapura pada 1978 dan Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia B-18 di Jakarta pada 1980.

Datuk Ab Ghani juga pernah dipanggil menyertai latihan pusat bagi Pra Kelayakan Piala Dunia 1986.

Di pentas domestik, beliau menjadi sebahagian daripada skuad Negeri Sembilan selama lapan tahun dari 1982 hingga 1990 dalam saingan Liga Utama dan Piala Malaysia.

Beliau turut pernah beraksi bersama Kelab Bank Bumiputera dalam saingan Piala FAM serta mewakili Kelab Melayu Negeri Sembilan.

Dengan baki dua tahun setengah penggal pentadbiran semasa, tumpuan kini terarah kepada formula Datuk Ab Ghani menterjemah pengalaman panjang itu dalam membawa hala tuju baharu bola sepak negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.