Datuk Ab Ghani komited bawa pembaharuan dalam arena bola sepak

Datuk Ab Ghani Hassan pada sidang media Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 17 September – Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mahu memanfaatkan baki dua tahun setengah dalam penggal pentadbiran 2025-2029 untuk membawa pembaharuan dalam arena bola sepak negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan menyelesaikan pandangan dan komen daripada AFC sebelum menentukan langkah seterusnya.
  • Perancangan akan diperhalusi dalam mesyuarat EXCO pertama dalam tempoh 14 hari untuk capai persetujuan konsensus.
  • Usaha penting untuk mengembalikan keyakinan pemegang taruh, penyokong dan rakyat terhadap pengurusan FAM.
  • Akan melepaskan jawatan Presiden MFL secara berperingkat supaya tumpuan diberikan sepenuhnya kepada FAM dan peralihan berjalan lancar menjelang akhir bulan.

Keutamaan kepimpinan baharu ketika ini adalah meneliti terlebih dahulu pandangan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum menentukan langkah seterusnya.

Menurutnya, perancangan yang telah dikenal pasti akan diperhalusi dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM dalam tempoh 14 hari bagi mendapatkan persetujuan konsensus.

“Pertamanya, kepimpinan yang dilantik hari ini perlu menyelesaikan apa juga pandangan dan komen daripada AFC.

“Kemudian kita akan bergerak untuk memastikan dalam masa dua tahun setengah ini, kita melakukan sesuatu bagi membawa perubahan dan pembaharuan dalam bola sepak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 di sini.

Jelas Datuk Ab Ghani lagi, usaha berkenaan juga penting bagi mengembalikan keyakinan pemegang taruh, penyokong serta rakyat terhadap pengurusan badan induk bola sepak negara.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membolehkan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada FAM.

Bagaimanapun, peletakan jawatan itu tidak akan dilakukan serta-merta kerana beliau mahu memastikan proses peralihan kepimpinan MFL berjalan lancar tanpa menjejaskan pengurusan liga domestik.

“Insya-Allah, tidak lama lagi saya akan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden MFL.

“Saya tidak boleh fokus kepada dua jawatan kerana kita tahu ada perkara yang perlu ditangani di FAM. Manakala MFL pula bertanggungjawab menguruskan liga, jadi seseorang perlu mengambil alih untuk memastikan perjalanan MFL berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau menjangkakan segala urusan berkaitan peralihan kepimpinan MFL dapat diselesaikan menjelang akhir bulan ini, termasuk pengumuman presiden baharu badan itu.

Datuk Ab Ghani dilantik sebagai Presiden MFL pada 2021 dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif badan pengelola Liga-M.

Pemilihannya sebagai Presiden FAM turut mencipta sejarah apabila beliau menjadi bekas pemain pertama yang dipilih menerajui badan induk bola sepak negara serta individu kesembilan menduduki jawatan tertinggi itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.