
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Harapan pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan kemarau 12 tahun pada kejohanan Terbuka Malaysia 2026 tidak kesampaian.
- Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pilihan utama Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam final Terbuka Malaysia 2026.
- Pasangan tempatan memberikan aksi terbaik namun belum cukup untuk menumpaskan pasangan nombor satu dunia.
- Soh Wooi Yik mengakui masih perlu memperbaiki aspek permainan dan kekal konsisten dalam latihan.
- Kekalahan mengekalkan kekosongan juara beregu lelaki Malaysia sejak kemenangan terakhir 2014.
Juara dunia 2022 itu tewas kepada pilihan utama dan juara bertahan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 15-21, 21-12, 18-21.
Menurut Aaron, mereka telah memberikan aksi terbaik, namun ia belum cukup untuk menumbangkan pasangan No. 1 dunia tersebut.
“Hari ini saya rasa kami telah memberikan yang terbaik, malah motivasi pun tinggi sebab penonton berikan sokongan,” katanya.
Sementara itu, Soh Wooi Yik mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki bagi menghadapi kejohanan akan datang.
“Kita perlu buat sesuatu untuk meningkatkan lagi mutu permainan sekarang dan pergi pada tahap lebih jauh. Jika kita kekal konsisten dengan latihan dan kerja keras, saya yakin kita akan dapat memberikan sesuatu yang terbaik untuk Malaysia,” ujarnya.
Kekalahan berkenaan menandakan pencarian Malaysia untuk juara beregu lelaki di pentas sendiri masih berterusan, dengan kemenangan terakhir kekal milik Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.
Ia turut melanjutkan penantian Aaron-Wooi Yik untuk memenangi gelaran Super 1000, selepas mengalami kekalahan ketujuh mereka di peringkat tersebut.
Pada kejohanan itu, majlis penyampaian pingat dan hadiah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai juara beregu lelaki, Won Ho–Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai USD107,300 (RM439,232), manakala Aaron-Wooi Yik selaku naib juara menerima USD50,750 (RM207,745).