
MADRID, 8 Jun – Bekas pengendali Kelantan The Real Warriors, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Kedah FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2026-2027.
- Pemilihan jurulatih dibuat selepas penelitian rapi oleh KFA bagi memastikan hala tuju pasukan berada pada landasan tepat.
- Pelantikan diyakini membawa nafas baharu serta menyokong perancangan jangka pendek dan jangka panjang persatuan.
- Persatuan merakamkan penghargaan kepada Victor Andrag atas sumbangan, dan menggesa penyokong memberi sokongan penuh musim akan datang.
Beliau menggantikan Victor Andrag yang sebelum ini membimbing Kedah FA menamatkan saingan di tangga ketiga Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata, pemilihan Akmal Rizal dibuat selepas pihaknya melakukan penelitian rapi bagi memastikan hala tuju pasukan berada pada landasan yang tepat.
Menurut beliau, pelantikan itu diyakini mampu membawa nafas baharu kepada pasukan selain menyokong perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirangka oleh persatuan.
“Pihak KFA percaya pelantikan ini mampu membawa nafas baharu kepada pasukan, di samping membantu merealisasikan perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirangka oleh persatuan.
“Kepada Akmal Rizal, kami mengucapkan selamat kembali ke bumi Darul Aman. Semoga kehadiran beliau bersama KFA akan membuka lembaran baharu dalam usaha membina pasukan yang kompetitif, berdaya saing dan menjadi kebanggaan rakyat Kedah,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam masa sama, Datuk Abdul Rahman berharap penyokong Hijau Kuning terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan serta barisan kejurulatihan dalam mengharungi cabaran musim akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Victor Andrag atas sumbangan cemerlang sepanjang mengendalikan pasukan musim lalu, selain tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama semula pada masa hadapan.
Di bawah kendalian Victor Andrag, Kedah FA menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 57 mata hasil 17 kemenangan, enam seri dan lima kekalahan.