Aina Syazwana mahu bawa momentum emas SUKIPT ke Sukan Asia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 September – Kejayaan mempertahankan pingat emas acara compound wanita berpasukan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 menjadi pembakar semangat buat pemanah negara, Aina Syazwana Abdul Muhaimin menjelang penampilan sulung di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berlepas ke Korea Selatan malam ini untuk kem latihan lebih dua minggu, berlatih bersama pasukan Korea bagi mengembalikan 'shooting form' terbaik.
  • Menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat berpasukan di Sukan Asia dan kutipan lebih 700 mata dalam acara individu.
  • Mengakui saingan di Sukan Asia lebih sengit terutama Korea Selatan, namun akan fokus pada prestasi sendiri dan memberi yang terbaik.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, kejayaan berkenaan memberi suntikan keyakinan untuk membawa momentum sama ke pentas lebih besar, selain menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat dalam acara berpasukan pada temasya berkenaan.

Menurutnya, beliau akan berlepas ke Korea Selatan malam ini untuk menjalani kem latihan selama lebih dua minggu, termasuk berlatih bersama skuad negara itu sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia.

“Malam ini saya akan berlepas ke Korea Selatan untuk menjalani kem latihan sebagai persiapan ke Sukan Asia di Jepun.

“Di sana, kami akan berlatih bersama pasukan Korea Selatan dan cuba beraksi secara kompetitif untuk mendapatkan kembali ‘shooting form’ terbaik seperti yang ditunjukkan pada SUKIPT ini” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membantu UiTM meraih pingat emas acara compound wanita berpasukan pada SUKIPT 2026 di Universiti Malaya (UM), hari ini.

Aina Syazwana mengakui persaingan di Sukan Asia pastinya lebih sengit, khususnya apabila bakal berdepan pasukan Korea Selatan yang kini antara kuasa besar dalam sukan memanah.

Bagaimanapun, beliau mahu memberi tumpuan kepada prestasi sendiri dan tidak terlalu memikirkan kekuatan pencabar.

“Saingan saya sebenarnya adalah diri sendiri. Tetapi kalau dibandingkan dengan pasukan lain, Korea memang sangat kuat dan mereka juga berada pada tahap terbaik sekarang, Jadi saya akan cuba berikan yang terbaik” Jelasnya.

Beliau turut menyasarkan kutipan lebih 700 mata dalam acara individu, selain mahu memberikan prestasi terbaik dalam setiap acara yang disertainya.

Terdahulu, Aina Syazwana bersama Nur Alyaa Nazurah Fadzil Fairuz dan Umairah Batrisyia Hayat Al-Mazli membantu UiTM mempertahankan kejuaraan compound wanita berpasukan SUKIPT selepas menewaskan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), 222-216.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.