Houthi dakwa lancar lima serangan ke atas sasaran di Arab Saudi

Foto AFP

RIYADH, 30 November – Pemberontak Houthi di Yaman pada Ahad mendakwa melancarkan lima operasi ketenteraan menyasarkan pelabuhan Jeddah serta beberapa kemudahan gas dan ketenteraan di seluruh Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas Yaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Yahya Saree berkata sasaran termasuk loji gas di Al-Ahsa, batalion Pengawal Kebangsaan di Riyadh dan stesen gas di Wilayah Timur.
  • Kemudahan radar di Khamis Mushait dan pelabuhan Jeddah turut disenaraikan sebagai sasaran.
  • Pakatan pimpinan Arab Saudi mengesahkan serangan ke atas pelabuhan Ras Isa serta 19 sasaran berkaitan operasi peluru berpandu dan dron Houthi.
  • Pertempuran berpanjangan terus memburukkan krisis kemanusiaan di Yaman, antara yang paling buruk di dunia.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree menerusi hantaran X berkata, operasi itu menyasarkan loji gas di wilayah timur Al-Ahsa, sebuah batalion Pengawal Kebangsaan di Riyadh serta sebuah stesen gas di Wilayah Timur.

Turut menjadi sasaran ialah kemudahan radar di kawasan Khamis Mushait dan pelabuhan Jeddah.

Saree berkata, serangan berkenaan merupakan tindak balas terhadap tindakan ketenteraan Arab Saudi yang didakwa menyasarkan kemudahan awam dan penduduk Yaman.

Sebagai tindak balas, pakatan tentera pimpinan Arab Saudi yang memerangi Houthi mengesahkan pihaknya melancarkan serangan ke atas pelabuhan Ras Isa di Yaman yang dikuasai kumpulan itu.

Jurucakap pakatan, Turki Al-Malki berkata, pasukannya turut menyerang 19 sasaran yang dikaitkan dengan operasi peluru berpandu dan dron Houthi, selain lima sasaran di pelabuhan Ras Isa.

Konflik itu menyaksikan Houthi melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap serangan di kawasan yang berada di bawah kawalan mereka.

Pakatan pimpinan Arab Saudi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dalam konflik berpanjangan yang kembali memuncak pada Julai lalu selepas beberapa tahun reda.

Pertempuran berkenaan terus memburukkan krisis kemanusiaan di Yaman, antara negara termiskin di dunia yang kini berdepan salah satu krisis kemanusiaan paling buruk. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.