Platform e-dagang asing wajib daftar syarikat tempatan, keluar e-invois

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong

PUTRAJAYA, 29 November -Semua platform e-dagang, termasuk yang beroperasi dari luar negara, perlu mendaftar syarikat di negara ini dan mengeluarkan e-Invois bagi memastikan persaingan lebih adil dengan peniaga tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan memperkukuh pematuhan piawaian keselamatan produk melalui SIRIM, khususnya bagi barangan elektrik yang dijual dalam talian.
  • Kempen Ada SIRIM Baru Jual dicadangkan untuk meningkatkan tanggungjawab penjual terhadap pematuhan standard dan keselamatan produk.
  • KPDN akan membentangkan RUU E-Dagang bagi memastikan semua platform beroperasi mengikut undang-undang negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah itu antara tiga pendekatan utama kerajaan bagi mewujudkan persaingan lebih adil dalam perniagaan.

Katanya, keperluan berkenaan akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan dan RUU Langkah-Langkah Cukai yang akan dibentangkan di Parlimen esok.

“Esok di Parlimen, saya akan membentangkan Rang Undang-Undang Kewangan dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Cukai bagi pihak Kementerian Kewangan, yang antara lain menetapkan keperluan semua platform e-dagang, sama ada tempatan mahupun asing, mengeluarkan e-Invois.

“Bagi platform e-dagang asing, keperluan mengeluarkan e-Invois turut mewajibkan mereka mempunyai pendaftaran syarikat tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Ada SIRIM Baru Beli hari ini.

Beliau berkata, pendekatan kedua adalah memperkukuh pematuhan piawaian keselamatan produk menerusi SIRIM, khususnya barangan elektrik yang dijual melalui platform e-dagang.

Katanya, langkah itu bukan sahaja bertujuan melindungi pengguna daripada risiko produk tidak selamat, malah memastikan pengimport dan pengusaha tempatan bersaing dalam persekitaran perniagaan yang adil.

Beliau mencadangkan kempen kesedaran Ada SIRIM Baru Jual diperluaskan bagi memastikan penjual turut bertanggungjawab terhadap pematuhan piawaian produk, bukan sekadar menyerahkan tanggungjawab kepada pembeli.

Katanya, ia penting untuk memastikan penjual di platform e-dagang, mematuhi standard-standard SIRIM selain memastikan keselamatan produk serta persaingan yang lebih adil.

Chin Tong berkata, pendekatan ketiga membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang akan membentangkan RUU E-Dagang bagi memastikan semua platform beroperasi mengikut undang-undang negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.