PM pelawa profesional MCOBA beri input pembangunan negara

PM Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Tahunan MCOBA hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa golongan profesional Persatuan Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) menubuhkan pasukan khas bagi memberi pandangan serta input terhadap perancangan pembangunan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penglibatan alumni berpengalaman dapat menyumbang pandangan, teguran dan kritikan terhadap tadbir urus serta pelaksanaan reformasi.
  • Reformasi perlu menangani tadbir urus lemah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara jujur dan menyeluruh.
  • Sumber negara mesti dimanfaatkan untuk rakyat, manakala alumni perlu mengutamakan nilai kemanusiaan, keadilan dan tadbir urus baik.

Katanya, pasukan itu akan diberi ruang untuk memberi input bagi memastikan dasar dan hala tuju pembangunan negara dapat diperkukuh.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha kerajaan mendapatkan pandangan golongan profesional dan alumni yang mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam pelbagai bidang, khususnya dalam menangani isu tadbir urus dan pelaksanaan reformasi negara.

“Penglibatan MCOBA penting memandangkan golongan alumni MCOBA terdiri daripada kelompok profesional, ahli perniagaan dan individu yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran serta pembangunan negara.

“Dan kita beri ruang kepada wakil alumni. Wakil alumni akan melihat semuanya, dan kemudian akan memberikan input, teguran, kritikan atau sanggahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan MCOBA, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, pendekatan sama sebelum ini turut dicadangkan kepada alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang merupakan antara kumpulan alumni terbesar di negara ini, bagi membolehkan mereka menyumbang pandangan secara langsung kepada kerajaan.

Datuk Seri Anwar berkata, usaha melaksanakan reformasi bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan berdepan pelbagai cabaran, termasuk amalan tadbir urus lemah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Beliau menegaskan, isu berkenaan perlu ditangani secara jujur dan menyeluruh bagi memastikan sumber negara dapat dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, termasuk pembangunan pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan golongan alumni supaya tidak hanya terikat dengan perbincangan berkaitan kepentingan kaum atau kelompok tertentu, sebaliknya memberi tumpuan kepada nilai kemanusiaan, keadilan dan tadbir urus yang baik.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.