Program Satelit Khas Komuniti Rakyat MADANI sinergi santuni warga Kuala Selangor

Sebanyak RM382,500 disalurkan menerusi Program Satelit Khas Komuniti Rakyat MADANI di Kuala Selangor

HULU SELANGOR, 28 November – Sebanyak RM382,500 disalurkan menerusi Program Satelit Khas Komuniti Rakyat MADANI bagi membantu meringankan beban masyarakat, khususnya penduduk yang terjejas akibat banjir di Kuala Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan masyarakat berbilang kaum serta agama.
  • Pelbagai inisiatif disediakan, termasuk barangan keperluan, saringan kesihatan percuma, bantuan cermin mata dan Jualan Rahmah.
  • JAKIM menyelaraskan program dengan kerjasama beberapa yayasan dan agensi kerajaan.
  • Program mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat serta memperluas penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program berkenaan bukan sahaja menjadi platform penyaluran bantuan, malah turut memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama.

“Kita ingin melihat bagaimana Kerajaan MADANI memainkan peranan dalam membantu rakyat sebaik mungkin, termasuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Alhamdulillah, menerusi program hari ini, kita dapat menyaksikan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, sama ada Islam atau bukan Islam, Melayu, Cina mahupun India, bersama-sama memperkukuh perpaduan serta memikirkan usaha untuk membina negara secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Satelit Khas Komuniti Rakyat MADANI di Dewan Terbuka Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Bandar Baru Kuala Selangor, hari ini.

Program yang diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu turut menyediakan pelbagai inisiatif untuk penduduk setempat, termasuk sumbangan barangan keperluan, saringan kesihatan percuma, bantuan cermin mata serta Jualan Rahmah.

Pelaksanaannya turut mendapat kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Yayasan Taqwa dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Program berkenaan menjadi platform bagi mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat, selain memastikan bantuan dan manfaat pembangunan dapat disalurkan secara lebih menyeluruh kepada golongan yang memerlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.