
PETALING JAYA, 28 November – Pusat pemprosesan lada yang bakal dibangunkan di Johor melibatkan peruntukan RM17 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
- Pusat pemprosesan dijangka siap pada penghujung 2029 bagi memperkukuh rantaian nilai industri lada dan menyokong pertumbuhan di Semenanjung Malaysia.
- Kapasiti pemprosesan pusat itu dirancang sebanyak satu tan metrik sejam bagi membantu pengusaha mendapatkan bekalan mengikut spesifikasi.
- Produktiviti lada negara perlu ditingkatkan bagi memenuhi permintaan pasaran, khususnya dari Korea dan Jepun.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pembangunan pusat berkenaan yang dijangka siap pada penghujung 2029 merupakan antara usaha memperkukuh rantaian nilai industri lada negara, selain menyokong pertumbuhan industri di Semenanjung Malaysia.
Kemudahan itu juga dijangka membolehkan pengusaha memperoleh bekalan lada yang menepati spesifikasi produk masing-masing.
Menurut beliau, taburan pengeluaran lada negara yang tertumpu di Sarawak, Sabah dan Johor turut menjadi antara pertimbangan dalam menentukan lokasi pembangunan pusat pemprosesan berkenaan.
“Lada ini banyak dihasilkan di Sarawak, Sabah dan Johor. Johor pula telah diputuskan sebagai lokasi untuk pembangunan pusat pemprosesan lada berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Ekspo Lada Malaysia 2026 di sebuah pusat beli-belah, di sini.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Datuk Seri Dr. Noraini berkata, sebanyak RM126.8 juta diperuntukkan di bawah RMKe-13 bagi memperkukuh rantaian nilai industri lada negara, termasuk RM600,000 untuk Program Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan Produk Hiliran Lada.
Daripada jumlah itu, RM140,000 disediakan bagi tahun 2027 dengan sasaran membangunkan dua produk makanan dan satu produk kosmetik berasaskan lada.
Beliau berkata, peningkatan produktiviti lada negara turut menjadi keutamaan bagi memenuhi permintaan pasaran, khususnya dari Korea dan Jepun.
“Permintaan memang ada, khususnya dari Korea dan Jepun. Jadi, kita perlu meningkatkan produktiviti lada negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB), Vincent Sawat berkata, projek berkenaan bertujuan meningkatkan pengeluaran lada dalam negara serta menyokong perkembangan industri di Semenanjung.
“Untuk meningkatkan pengeluaran lada dalam negara, kita memulakan projek membina pusat pemprosesan di Johor untuk menyokong pertumbuhan industri di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Pusat berkenaan dirancang mempunyai kapasiti pemprosesan sebanyak satu tan metrik lada sejam apabila beroperasi kelak.
Kemudahan itu dijangka membantu pengusaha mendapatkan bekalan lada yang memenuhi spesifikasi diperlukan, sekali gus menyokong penghasilan produk berkualiti serta memastikan bekalan lebih konsisten.