
KUALA LUMPUR, 28 November – Amalan menabung dan kecelikan kewangan perlu dipupuk sejak usia muda bagi membentuk generasi yang berhemat, sekali gus mengelakkan sikap boros serta bebanan hutang apabila dewasa.
- Amalan menabung dan kecelikan kewangan perlu dipupuk sejak kecil agar generasi muda berhemat.
- Tanpa kesedaran kewangan, individu berisiko berbelanja mengikut nafsu dan dibebani hutang.
- PM menghargai usaha PNB memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan pelajar dan generasi muda.
- Generasi muda dicabar meningkatkan penyertaan dalam program literasi kewangan serta usaha menabung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanpa latihan dan kesedaran sejak dari kecil, seseorang individu berisiko terjerumus dalam budaya berbelanja mengikut nafsu atau ‘conspicuous consumption’ yang akhirnya merugikan diri dan keluarga.
“Kalau tidak, tengok sahaja iklan jualan, terus beli. Wang tidak ada, tidak mengapa, akhirnya hutang membebankan kita.
“Sebab itu amalan dan budaya menabung sejak muda sangat penting. Jika sejak kecil tidak dilatih dengan kecelikan kewangan, apabila dewasa dan diberi amanah, kekayaan pula dirompaknya,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 bertempat di Stadium Merdeka di sini.
Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar turut menghargai inisiatif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan pelajar dan generasi muda sebagai langkah persediaan awal menghadapi masa depan.
“Sehingga Oktober 2025, seramai 280,000 pelajar telah menyertai program Celik MADANI yang dilancarkan sejak 2024, manakala Kelab Pelaburan Bijak PNB pula telah menjangkau lebih 1.3 juta pelajar di hampir 500 sekolah sejak penubuhannya pada 2001.
“Saya ingin mencabar generasi muda agar terus meningkatkan penyertaan dan usaha menabung melebihi sasaran yang direncanakan, jelasnya.