
LAWAS, 28 November – Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
- Mohamad Haji Brahim menarik diri secara sukarela selepas mengambil kira pembangunan Lawas dan keyakinan terhadap kepimpinan penyandang.
- Datuk Amar Douglas Uggah Embas mempertahankan kerusi DUN Bukit Saban tanpa bertanding kerana tiada calon lain mengemukakan borang pencalonan.
- Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berdepan saingan calon DAP, Sim Kiat Leng, bagi kerusi DUN Batu Kawah.
Kemenangan itu susulan keputusan calon Bebas, Mohamad Haji Brahim menarik diri kira-kira 10 minit sebelum proses penamaan calon ditutup.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Sari, Ladin Atok mengumumkan keputusan berkenaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lawas.
Mohamad berkata, keputusan menarik diri dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan selepas mengambil kira perkembangan pembangunan di Lawas serta keyakinannya terhadap kepimpinan penyandang kerusi berkenaan.
“Walaupun pada awalnya saya memang berhasrat untuk bertanding, saya akhirnya memilih untuk memberikan sokongan kepada Datuk Amar Awang Tengah kerana yakin beliau mampu meneruskan pembangunan serta memberi perhatian kepada kawasan yang masih belum dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di pusat berkenaan.
Datuk Amar Awang Tengah sebelum ini turut memenangi kerusi Bukit Sari tanpa bertanding pada PRN Sarawak 2016.
Pada PRN 2021 pula, beliau mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 5,636 undi selepas menewaskan dua calon daripada parti lain.
Sementara itu, seorang lagi Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut menang tanpa bertanding selepas tamat proses penamaan calon, hari ini.
Beliau mempertahankan kerusi DUN Bukit Saban selepas tiada calon lain mengemukakan borang pencalonan.
Berbeza dengan kedua-duanya, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berdepan saingan calon DAP, Sim Kiat Leng bagi kerusi DUN Batu Kawah.