
PARIS, 28 November – Hujan lebat yang dikaitkan dengan fenomena El Nino mencetuskan banjir besar di beberapa bandar di Peru dan Ecuador.
- Sekurang-kurangnya 34 kematian dilaporkan di Ecuador, manakala kira-kira 47,000 penduduk terjejas.
- Di Manta, air banjir menenggelamkan kawasan kediaman hingga paras dada dan merosakkan sistem kumbahan.
- Di Piura, kira-kira 2,000 keluarga terjejas selepas hujan berterusan menyebabkan jalan raya dinaiki air hingga paras pinggang.
Setakat semalam, sekurang-kurangnya 34 kematian dilaporkan di Ecuador.
Sekretariat Pengurusan Risiko Kebangsaan Ecuador (SNGR) memaklumkan, kira-kira 47,000 penduduk turut terjejas akibat bencana itu.
Di Manta, barat Ecuador, kawasan kediaman penduduk ditenggelami air sehingga paras dada.
Penduduk terpaksa meredah banjir, malah ada yang menggunakan tilam sebagai alat apungan untuk bergerak.
Salah seorang penduduk terjejas, Fernanda Navarrete, 41 tahun, berkata, kawasan kediamannya dilanda banjir lumpur sejak empat hari lalu, selain mengalami kerosakan sistem kumbahan.
Sementara itu, di Piura, utara Peru, hujan lebat berterusan selama 12 jam sejak Khamis lalu menyebabkan jalan raya dinaiki air sehingga paras pinggang.
Ketua Institut Pertahanan Awam Kebangsaan Peru, Luis Vasquez berkata, laporan awal menunjukkan kira-kira 2,000 keluarga terjejas.
Peru dan Ecuador antara negara Amerika Latin yang mengisytiharkan darurat susulan fenomena El Nino, yang boleh mengubah corak hujan dan angin akibat peningkatan suhu permukaan laut. – AFP