
KUALA PILAH, 27 November – Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu selesai mengangkat sumpah jawatan bagi melengkapkan barisan pentadbiran kerajaan negeri.
- Enam ADUN mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
- Tuanku Muhriz menyeru barisan pentadbiran mengutamakan rakyat serta melaksanakan amanah dengan integriti dan profesionalisme.
- Portfolio setiap Exco akan ditetapkan dalam tempoh sehari dua, menurut Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
- Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri dicadang diadakan dua kali seminggu bagi mempercepat penyelesaian kertas tertunggak.
Mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir; ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fattah Zakaria.
Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil dan ADUN Repah, Koh Kim Swee.
Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Besar Seri Menanti, di sini.
Pada istiadat itu, kesemua Exco menandatangani Akuan Sumpah serta menerima watikah pelantikan daripada baginda.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Putera Yang Empat.
Tuanku Muhriz dalam titah baginda menyeru barisan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu supaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan profesionalisme.
“Kamu semua perlu memberikan sepenuh perhatian kepada tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Utamakan kepentingan rakyat, laksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme, serta pastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim ketika ditemui pemberita memaklumkan portfolio setiap Exco akan ditetapkan dalam tempoh sehari, dua lagi.
“Jumlah Ahli Majlis Mesyuarat yang diperkenankan setakat hari ini ialah enam orang dan kita ada banyak portfolio.
“Mungkin saya terpaksa menggabungkan beberapa portfolio dan ini memerlukan kesesuaian berkaitan. Maknanya antara portfolio yang berkaitan,” katanya.
Beliau turut bercadang mengadakan Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri sebanyak dua kali seminggu bagi mempercepat penyelesaian kertas-kertas yang masih tertunggak.